Sultan Ahmad Shah Gembira Malaysia Layak Ke Separuh Akhir

KUANTAN, 8 Dis (Bernama) -- "Malaysia Boleh", itulah ucapan tahniah yang diucapkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultah Ahmad Shah mengenai kejayaan skuad bola sepak negara malam tadi melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010.

"Malaysia Boleh, semalam anak-anak buah saya bermain dengan baik sekali. Jadi saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya ke separuh akhir," titah baginda kepada pemberita di sini Rabu.

Malaysia layak ke separuh akhir selepas menundukkan Laos 5-1 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan di Stadium Jaka Baring, Palembang.

Namun baginda bertitah bahawa baginda yang menyaksikan perlawanan itu tidak menyangka keputusan yang dihadiahkan oleh skuad negara itu sedikit tersasar dari ramalan baginda, namun titah baginda rumusannya tetap sama iaitu Malaysia memenangi perlawanan tersebut.

"Masa saya makan dengan seorang rakan, saya beritahu dia yang pasukan kita akan menang 4-1 tapi rupanya 5-1, memang di luar jangkaan saya," titah baginda.

Dalam Kumpulan A itu, Indonesia muncul juara dengan memiliki sembilan mata, Malaysia di tangga kedua dengan empat mata, Thailand ketiga dengan dua mata manakala Loas di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Selaku naib juara Kumpulan A, Malaysia akan menghadapi juara Kumpulan B iaitu sama ada Filipina, Vietnam atau Singapura pada 15 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dan di tempat lawan pada 18 Dis.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.