Dollah Bakal Berdepan Dengan Muka-Muka Balah Di Pintu Hadapan

‘Saudara-saudara sekalian, Percayalah. Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional (BN), bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia menegakkan perlembagaan penjajahan, mengekalkan peraturan (delete). Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad,derma kita adalah jihad dan kerana itu kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam…’ - Hadi Awang, Banggol Peradong, 1979.

‘Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno…

…Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan’ - Hadi Awang, JKR 10 Kota Bharu, 2008.

Tuan Guru Haji Hadi sudah melangkah jauh melewati usia-usia kematangan. Jikalau diperakui ungkapan Amanatnya lewat 70an dahulu, sudah tentu beliau tidak akan merestui Timbalannya, yang baru mencicah politik 20 tahun selepas Amanat Hadi dibuat, untuk melangkah mendampingi dengan UMNO.

Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS mendapat restu Tuan Guru Haji Hadi walaupun didalam hal ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak mengetahuinya.

Mengikut rentetan kisahnya, pertemuan awal Ustaz Nasharuddin dengan UMNO bermula semenjak keputusan Pilihanraya Umum ke 12 di isytiharkan. Pada awalnya Ustaz Nasha dan beberapa pemimpin PAS telah bermuzakarah dengan Khir Toyo, Bekas Ketua barisan menjadikan pembangkang sifar di Selangor.

Setelah menyedari dia bukan sahaja gagal menjadikan pembangkang sifar sebaliknya pembangkang sudah merampas tampuk pemerintahannya, Khir Toyo mengatur pertemuan di antara Timbalan Presiden PAS dan orang-orangnya dengan Presiden UMNO bagi membincangkan penubuhan sebuah Kerajaan Campuran dengan Menteri Besarnya dilantik dari kalangan ADUN PAS Selangor.

Khir Toyo mendakwa di dalam blognya, usaha itu hanya gagal kerana Anwar Ibrahim menggunakan persahabatannya dengan Setiausaha Agung PAS untuk meracuni penubuhan Kerajaan Campuran itu. Kamaruddin Jaafar selaku Setiausaha Agung PAS bagaimanapun tidak membuat sebarang komen sehingga kini. Bagaimanapun jika dakwaan Khir Toyo itu benar, maka Ahli-Ahli PAS dan Rakyat Malaysia tentunya berbanyak-banyak berterima kasih kepada Dato’ KJ.

Haji Hadi sudah melewati jauh usia kematangannya kerana jika tidak sudah tentu dia tidak merestui pertemuan sedemikian. Sayang Hadi pada Malaysia mungkin sudah menutupi cemuhnya pada UMNO yang menegakkan perlembagaan penjajah dan mengekalkan peraturan ‘kafir’. Jalan baru yang diambil Hadi inilah, membuka ruang untuk pengundi-pengundi bukan Islam mengundi PAS dan seterusnya perlahan-lahan berjinak sambil memahami keindahan ideologi yang dibawa oleh Parti pimpinannya.

PAS tidak pernah menukar prinsip perjuangannya, sebaliknya kejayaan besar PAS didalam PRU12 terutama di kawasan-kawasan yang kemenangan ditentukan oleh pengundi bukan Islam adalah kerana kepimpinan Hadi meyakini mereka yang bencikan kepimpinan Abdullah bahawa adalah selamat untuk mengundi PAS. PAS berjaya membuka ruang kepada pengundi-pengundi bukan Islam melihat persamaan seruan Agama yang diperjuangkan oleh PAS dengan seruan Agama mereka dan bukannya melihat kepada perbezaan.

Semua Agama menyeru kepada kebaikan, itu adalah persamaannya.

Hadi Awang sudah melewati jauh usia kematangannya dan walaupun dia gagal menawan negerinya sendiri didalam PRU12, itu tidak mematahkan semangatnya untuk melihat perjuangan di negeri-negeri jauh diteruskan dan mencari kemenangan berskala lebih besar didalam agenda pasca pilihanraya.

Walau apapun yang dibicarakan tentang muzakarah yang telah berlaku dan berakhir, Timbalan Presiden PAS tahu bahawa muzakarah itu bersifat politik dan membincangkan perkongsian kuasa. Abdul Khalid Samad, Ahli Parlimen PAS Shah Alam yang hadir didalam muzakarah pertama sudah mendedahkan kepada media hal ini.

Timbalan Presiden PAS telah menafikan bagi pihak Presiden adanya pertemuan dengan UMNO bahkan di lobi Parlimen pernah mengugut untuk menyaman seorang blogger kerana bertindak menabur cerita tidak berapa benar tentang wujudnya elemen muzakarah diantara PAS-UMNO. Setelah berlabuhnya tirai muzakarah, mungkin masanya telah tiba untuk Timbalan Presiden PAS menumpukan masa untuk menimbangkan ugutannya. Jika ia baik untuk PAS dan Pakatan Rakyat, tentu sekali baik untuk dirinya sendiri.

Hadi Awang sudah melewati usia kematangannya dan Muzakarah sudah berakhir dan jika perlu, hanyalah Muqabalah. Muzakarah itu lembut, muzakarah secara umumnya dari sudut orang tempatan membawa maksud perbincangan dan pertukaran pendapat. Dari sudut politik boleh jadi perbincangan ini yang melibatkan isu Agama dan Bangsa juga membabitkan pertukaran jawatan dan kedudukan didalam kerajaan.

Muqabalah dari segi sebutannya sahaja sudah tegas. Memahaminya mungkin sukar, tetapi dari sudut bahasa orang Kelantan, bunyinya seperti ‘Muka’ ‘Balah’. ‘Muka’ sudah tentulah wajah dan ‘Balah’ dari segi loghat Kelantan bermakna ‘bergaduh’. Jadi untuk senang dihuraikan, bolehlah kita katakan pergilah kamu bertemu Abdullah dengan ‘muka balah’ kamu. Maknanya pergi dan ‘confront’ Abdullah tentang hak orang Melayu dan hak Islam. Oleh kerana kekuatan orang Melayu juga bergantung kepada kekuatan kaum-kaum lain yang bersama mendiami bumi ini sebagai warga negara, maka, bila membela orang Melayu, janganlah pula lupa membela rakan-rakan kita di Malaysia. Oleh kerana Islam itu adalah suatu agama yang prihatin kepada kehendak seluruh umat manusia, maka bila meminta hak untuk orang Islam maka berlaku adillah juga kepada hak penganut agama lain.

Maka di dalam konteks Kelantan sebagai contohnya, apabila ber ‘Muka Balah’ dengan Abdullah, tuntutlah darinya hak pendaratan Gas Asli yang diterokai di perairan Kelantan. Tuntutlah hak pembangunan Pusat untuk negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Pendek kata pergilah membuat tuntutan apa yang menjadi hak kita dan bukan pergi menawarkan hak kita untuk memperkuatkan mereka.

Maka kaum-kaum lain dan penganut agama-agama lain bolehlah menggunakan saluran ‘Muka Balah’ yang diluluskan oleh Majlis Syura PAS ini untuk mengenengahkan tuntutan-tuntutan mereka terhadap Abdullah.

Oleh yang demikian juga, apabila kita pergi dengan ‘Muka Balah’ maka agenda politik tidak boleh dibincangkan. Ini kerana agenda politik adalah hak rakyat dan rakyat akan mengundi setiap 4 atau 5 tahun sekali bagi menentukan pemimpin mereka. Jadi apabila kita ‘Muka Balah’, kita membawa tuntutan rakyat kepada pemimpin negara dan bukan memanipulasi amanah rakyat kepada kita.

Hadi Awang sudah melewati usia kematangannya dan gandingannya dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan pasti membawa kita harapan untuk mendapat hak-hak kita.

http://kickdefella.wordpress.com/2008/07/24/dollah-bakal-berdepan-dengan-muka-muka-balah-di-pintu-hadapan/#comments

No comments

Powered by Blogger.