KP Imigresen bebas dengan ikat jamin RM150,000


KETUA Pengarah Imigresen, Wahid Mohd. Don bercakap kepada pemberita selepas dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM150,000 di Mahkamah Majistret Kajang, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 14 Julai – Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don yang direman pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung urusan pengeluaran visa bagi kemasukan pekerja asing, dibebaskan dengan ikat jamin hari ini.

Majistret Mazuliana Abdul Rashid membenarkan beliau dibebaskan dengan jaminan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin. Wahid yang digari tangannya tiba di Mahkamah Majistret Kajang pukul 11 pagi diiringi tiga pegawai BPR.

Bercakap kepada kepada pemberita, Wahid berkata: “Biar mahkamah lakukan keadilan. Saya tidak bercadang untuk mengulas lanjut. BPR telah menjalankan kerja dengan baik, berhemah serta profesional.”

Jumaat lalu, mahkamah yang sama membenarkan permohonan BPR untuk menahan reman Wahid selama empat hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Wahid yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 1 Oktober 2006 ditahan oleh BPR di rumahnya di Jalan Duta, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.20 malam Khamis lalu.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Siasatan awal BPR menunjukkan ada pegawai di Jabatan Imigresen dipercayai menerima rasuah sebanyak RM350 bagi setiap pekerja asing sebagai ganjaran mempercepatkan kelulusan permohonan pengeluaran visa.

Kes tersebut terbongkar berikutan aduan yang diterima BPR pada awal bulan ini yang mendakwa seorang ejen meminta bayaran RM350 daripada setiap pekerja asing untuk diberikan kepada pegawai kanan di Jabatan Imigresen.

Sehingga kini, BPR telah menahan sembilan orang yang disyaki terbabit dalam kes rasuah itu dan Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dipetik sebagai berkata bahawa lebih ramai lagi akan ditahan berhubung kes itu.

apala sangat dengan rm150,000

No comments

Powered by Blogger.