Speaker tolak usul undi tidak percaya terhadap PM

KUALA LUMPUR 14 Julai - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penolakan usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota Parlimen Pembangkang yang kemudian bertindak keluar dewan.

Pandikar Amin, yang menerima permohonan usul itu dari Wan Azizah Ismail Khamis lalu, berkata beliau telah memberikan alasan bertulis terhadap penolakan di bawah peraturan 18 (7), walaupun secara asasnya tidak diperlukan untuk membuat penjelasan.

"Speaker tak perlu beri alasan pun tetapi apabila saya tak jawab, seolah-olah saya sembunyikan sesuatu. (Alasan penolakan ialah kerana) Apabila saya baca usul berkenaan ia menyatakan mengambil ketetapan tidak percaya.

"Mengambil ketetapan ini membabitkan pengundian sedangkan 18 (1) dan 18 (2) ialah untuk merunding. Macam mana pula saya boleh benarkan di bawah 18 (1) dan 18 (2)," katanya ketika memulakan sesi penggulungan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 di sini.

Beliau berkata alasan lain yang diberikan secara bertulis kepada Wan Azizah mengenai sebab penolakan itu ialah semua yang hendak dikemukakan dalam Dewan mengikut peraturan mesyuarat itu sudah dikemukakan pada perbahasan usul kenaikan harga minyak tempoh hari.

Bertegas dengan keputusannya itu, Pandikar Amin menyatakan sesiapa juga yang bangun untuk mempertikaikan keputusannya menolak usul berkenaan akan diarah keluar.

"Siapa yang bangun selepas (Anggota Parlimen) Batu (iaitu Tian Chua berhujah) saya akan arah dia keluar (Dewan)," katanya.

Ketika keadaan semakin hangat dengan penyokong kerajaan dan pembangkang bertikam lidah termasuk menyindir antara satu sama lain, Wan Azizah bangun meminta Pandikar Amin mempertimbangkannya semula.

"Kalau boleh timbangkan. Kita terpaksa meninggalkan Dewan. Inilah cara kami (menyuarakan hasrat rakyat)," kata Wan Azizah.

Selepas Pandikar Amin tidak melayani permohonan itu dan menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad, Wan Azizah bangun dan keluar dari Dewan dengan diikuti kesemua anggota pembangkang lain.

Khamis lalu parti pembangkang menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri kepada Pandikar Amin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2).

apa barang beb.....penakut la kamu BN

No comments

Powered by Blogger.