UMUM DI MEDIA JUMPA PEMIMPIN PAS : PAK LAH CAPAI MATLAMAT JANGKA PENDEKNYA

a
Pak Lah nampaknya cuba bermain politik apabila membuat kenyataan akhbar bahawa beliau sudah 3 kali bertemu pemimpim atasan PAS malah menekankan bahawa pemimpin yang ditemuinya adalah orang yang boleh membuat keputusan (decision maker). Jujurkan Pak Lah apabila 'membocorkan' rahsia pertemuan tersebut atau sememangnya ia tidak menjadi rahsia kedua-dua pihak.

Namun dari segi jangka pendek sebenarnya Pak Lah berada di pihak yang beruntung kerana berjaya menimbulkan keraguan di kalangan penyokong PAS, parti-parti Pakatan Rakyat dan juga individu-individu yang berangan-angan hendak menyeberang menyertai PAS atau Pakatan Rakyat.

Sudah tentu hati mereka berdetik buat apa aku sertai PAS sedangkan PAS pun sudah mahu berbaik dan bergabung dengan Umno. Walaupun hakikatnya pertemuan itu mungkin bukan bertujuan untuk membincangkan pergabungan PAS-Umno, namun Pak Lah bijak mengintai peluang untuk menangguk di air keruh dengan menggambarkan seolah-olah pertemuan itu bertujuan untuk mencapai matlamat ke arah penggabungan kedua-dua parti.

Sudah tentu jentera-jentera Umno yang dibantu dengan media, pihak 'Siput Babi' (SB) akan menggunakan jarum halus mereka untuk mengkucar-kacirkan pemikiran penyokong dan orang-orang mudah di'pening'kan kepala mereka.

Apakah strategi pimpinan PAS kali ini mengena atau PAS yang di'kena'kan. Di peringkat akar umbi memang timbul keresahan kerana mereka yang berjuang siang-malam, mengalami kejutan kerana Umno yang dilaung-laungkan sebagai zalim, tidak berhati perut, keras kepala, bongkak, gila kuasa, penuh dengan rasuah dan segala macam 'mak nenek' kejijikan akhirnya didekati PAS dengan menghulurkan tangan untuk bersahabat walaupun mungkin sampai ke peringkat bergabung.

Hati kawan-kawan di dalam Pakatan Rakyat juga mungkin terguris dengan tindakan pemimpin PAS yang seolah-olah dilihat membelakangkan mereka. Malah ada suara-suara yang mendakwa bahawa sokongan bukan Melayu kepada PAS sedang terhakis sedikit demi sedikit kerana nampaknya PAS juga ingin mendukung perjuangan 'racist' iaitu bersetuju dengan Umno sedangkan Umno telah diterajang pada Pilihanraya Umum lalu.

Lebih mendukacitakan di kalangan pemimpin PAS sendiri seolah-olah tidak sekata dalam kenyataan akhbar mereka. Mursyidul Am dan Naib Presiden, Dato' Husam Musa seolah-olah bercakap di pihak yang tidak bersetuju dengan muzakarah PAS-Umno manakala Presiden, Timbalan Presiden dan lain-lain mempunyai pandangan sebaliknya. Mana perginya 'wehdatul Fikr'? tanya seorang ahli akar umbi.

Jadi adalah diharapkan pemimpin PAS dapat membuat pertimbangan sewajarnya bagi menyelamatkan sokongan dari ahli. penyokong dan orang-orang bukan Melayu yang jelas memecahkan rekod pilihanraya umum apabila tidak segan silu memberikan undi kepada PAS.

No comments

Powered by Blogger.