31 ogos...adakah umno perak sedar?
|
PETALING JAYA: Sasaran 31 Ogos bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat tidak kesampaian. Ternyata keyakinan yang dilahirkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (gambar atas) awal bulan ini kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu akan jatuh menjelang sambutan Merdeka tidak menjadi kenyataan. Tajol ketika dihubungi mStar Online hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut. “Tak payah komenlah,” katanya ringkas. Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar bawah) yang turut dihubungi berkata, beliau juga menunggu perkara itu berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan. “Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya. Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam, namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar. “Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula. “Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya. Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu. “Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai. “Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya. Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN. |
No comments
Post a Comment