bercuti la sekejap zaid

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menasihatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim supaya bercuti dan memikirkan dengan mendalam keputusannya untuk meletakkan jawatan.

Perdana Menteri berkata Zaid ada mememui beliau di kediamannya di Seri Perdana di Putrajaya petang tadi dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

"Dia ada sebut perkara itu (meletak jawatan) kepada saya, saya kata fikir betul-betul... kalau dia letih sangat pergilah bercuti.. pergi sekejap sudahlah," kata Abdullah kepada pemberita selepas berbuka puasa dan solat Maghrib bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin di sini.

Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat berbual lama dengan Zaid kerana beliau bergegas untuk datang ke Terengganu.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Zaid hari ini dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan surat peletakan jawatan beliau diserahkan kepada Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 2 petang.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengesahkan Zaid telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai menteri Kabinet ke pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Abdullah berkata beliau belum berkesempatan untuk melihat surat itu dan tidak tahu apakah alasan Zaid berbuat demikian.

"Surat itu tidak ada pada saya. Zaid jumpa saya di rumah, surat itu dihantar ke pejabat," katanya.

Ditanya pendirian beliau mengenai peletakan jawatan oleh Zaid, Abdullah berkata Zaid bebas untuk berbuat demikian dan tindakannya itu tidak akan melemahkan Kabinet pimpinannya.

Semalam, Zaid menyatakan kesediaannya dipecat atau diarah meletak jawatan daripada Kabinet jika kerajaan terus melakukan tangkapan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kes bukan membabitkan anasir komunis dan pengganas di negara ini. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.