Teresa Tuntut Utusan Bayar RM30 Juta Dan Permohonan Maaf
Teresa tuntut Utusan bayar RM30 juta
Exco kanan kerajaan Selangor, Teresa Kok - yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - menuntut Utusan Malaysia menarik balik sebuah artikel yang didakwa memfitnah dan merosakkan nama baiknya.
Beliau turut meminta akhbar berkenaan menyiarkan permohonan maafnya dengan segera dan membayar ganti rugi sebanyak RM30 juta, termasuk kos.
Teresa hari ini melalui peguamnya Sankara Nair turut menuntut akhbar milik Umno itu agar tidak mengulangi kata-kata, tuduhan dan komen yang dibuat seperti dalam kolum ‘Cuit’ itu.
Pada 10 September lalu, Utusan Malaysia menyiarkan artikel berjudul ‘Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya’ (babi) yang menyebut “seorang YB wanita DAP yang berkaca mata” menasihatkan pengurusan sebuah surau supaya tidak melaungkan azan dengan kuat menggunakan pembesar suara, terutama pada waktu subuh.
Artikel Zaini Hassan itu mengulas kenyataan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dilaporkan berkata ”ada usaha oleh pihak tertentu (di Selangor) yang cuba menasihatkan pihak masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan”, dua hari sebelumnya dalam akhbar yang sama.
Menurut surat tuntutan itu, artikel tulisan pengarang kanan akhbar itu didakwa menggambarkan Teresa sebagai “bersifat perkauman, fanatik agama, tidak boleh dipercayai, ahli politik yang teruk, tidak boleh bertolak ansur, tidak berprinsip serta menentang Melayu dan Islam.”
Surat itu yang dihantar petang tadi itu juga menyebut penyiaran artikel itu mendedahkannya kepada kebencian, cemuhan, diejek dan dipandang rendah.
Siaran artikel berkenaan, menurut surat itu lagi, pada prinsipnya dibuat untuk mencari publisiti murahan dan sensasi dan menyebabkan kerosakan serius pada nama baik dan perwatakannya.
Akhbar itu diberikan masa 24 jam untuk mengemukakan jawapannya sebelum dikenakan tindakan saman fitnah.
kalau aku la....banyak lagi la aku bagi kat utusan ni....memang surat khabar yang paling bangan kat dalam malaysia ni..suka sangat pecah belahkan masyarakat..aku heran menteri yang jaga ni dok buat apa...tau buat air liur je la..
No comments
Post a Comment