BN tetap utuh - PM tolak tanggapan komponen parti pemerintah itu berpecah


SEMANGAT SETIAKAWAN... Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan Koh Tsu Koon selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - Gambar Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 9 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak tanggapan bahawa Barisan Nasional (BN) kini berpecah-belah dan berada di ambang kehancuran.

Sebaliknya, beliau menegaskan, BN tetap utuh dan akan meneruskan tanggungjawab serta amanah untuk memerintah negara ini seperti mana mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas.

“Semangat kekitaan di dalam BN adalah amat tinggi dan semua parti komponen menganggap BN merupakan milik mereka yang perlu dipelihara,’’ kata Pengerusi BN itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ditanya sama ada perkembangan politik yang berlaku pada masa ini, terutama kontroversi melibatkan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dengan parti Gerakan, menandakan berlaku perpecahan antara parti komponen BN, Abdullah berkata:

“Tidak, anda tidak boleh mentafsirkannya begitu. Reaksi saya positif iaitu kami tidak sesekali akan membenarkan perkara seperti ini berlaku (BN berpecah belah atau hancur). Kami seperti pasukan bola sepak. Kami sangat agresif, tetapi tetap bermain permainan yang sama.

“Sasaran kami adalah untuk menyumbat ke gol lawan supaya kami menang.’’

Beliau seterusnya berkata, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, BN tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

Pada masa yang sama, Abdullah turut melahirkan rasa gembira dengan ketegasan semua ketua parti komponen apabila mereka memberi jaminan akan tetap bersama BN dalam menghadapi apa jua ancaman, rintangan dan cabaran secara bersama.

“Ini merupakan semangat yang ada pada setiap parti komponen BN. Kami akan memelihara semangat ini demi untuk nasib dan masa depan rakyat yang selama ini telah memberikan sokongan mereka kepada BN,’’ ujarnya.

Sementara itu, Abdullah berkata, sebarang kekurangan, kelemahan dan tidak keberkesanan di dalam parti-parti BN akan diatasi dengan segera selain memastikan segala rancangan yang bertujuan untuk kesejahteraan akan dilaksanakan dengan berkesan.

“Kami juga mesti sentiasa mendengar keluhan, suara rakyat dan kehendak mereka yang disampaikan kepada kami melalui saluran komunikasi yang secukupnya kerana mereka adalah amanah dan tanggungjawab kami,’’ katanya.

Perdana Menteri turut menggariskan beberapa strategi untuk mengubah serta memulihkan BN, termasuklah usaha menggerakkan jentera penerangan mengenai kegiatan parti serta dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata, kegiatan parti perlu dijalankan secara bersama dan bukan membiarkan parti-parti komponen melaksanakannya secara bersendirian.

“Kegiatan yang dilakukan oleh parti perlu dipastikan penyertaannya daripada setiap ahli komponen BN,” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, ketua-ketua parti komponen BN, Naib- Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Wanita BN, Tan Sri Rafidah Aziz.

Antara ketua parti komponen BN yang menghadiri mesyuarat selama tiga jam itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Presiden PPP, Datuk M. Kayveas; Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr. George Chan.

Hadir sama ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V.K Liew; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Masing; Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri Wiliam Mawan Ikom dan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok.

Hanya Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee tidak hadir pada mesyuarat tersebut.

aku tau.....depa tak lama dah.....kesian pak lah....letak jawatan la....polis takut..bpr takut...suma dok jadi penakut dah.

No comments

Powered by Blogger.