Jangan spekulasi kes ISA'




Anwar kena tindakan jika ancam keselamatan: Syed Hamid

SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, semalam meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Adalah lebih baik kita tengok suasana serta tindak- tanduk beliau dan apabila tiba masanya jika pihak berkuasa perlu ambil tindakan maka mereka akan mengambil tindakan, tapi saya minta jangan buat spekulasi," katanya. Syed Hamid ditanya sama ada Anwar akan dikenakan ISA selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin menyifatkan beliau sebagai ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Apa juga berkaitan soal keselamatan bukan boleh kita buat spekulasi. Tidak ada orang dalam dunia ini kalau nak tangkap... perisik ke atau nak tangkap orang dia bercerita," katanya pada sidang media selepas melawat bahagian keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, semalam.

Syed Hamid juga meminta orang ramai tidak mempercayai sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab."Kerajaan mengambil berat mengenai penyebaran SMS yang cuba menimbulkan suasana tidak menentu, pertukaran kerajaan dan senarai individu yang akan ditahan ISA," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan pihak yang membantah penggunaan ISA kerana ia berkesan mengekalkan peraturan dan undang-undang.

"Polis akan menahan individu menggunakan ISA jika melakukan tiga perkara, iaitu memberi ancaman kepada keselamatan, ancaman kepada kesejahteraan ekonomi dan ancaman terhadap perkhidmatan penting dalam negara seperti lapangan terbang," katanya.

Selain itu, Syed Hamid berkata, 800 anggota polis ditempatkan di lima lapangan terbang bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

No comments

Powered by Blogger.