Nik Aziz harap Anwar tak kena ISA

KOTA BHARU: Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kerajaan tidak akan menahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebarang tindakan yang mahu diambil terhadap Anwar wajar dibuat mengikut saluran undang-undang supaya pihak ditahan diberi peluang membela diri.

"Mudah-mudahan tidak berlaku kerana kecaman terhadap ISA memang begitu banyak dan menonjol, termasuk oleh menteri undang-undang (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim) yang sanggup meletak jawatan.

"Mudah-mudahan dengan semangat Ramadan ini, mereka mengambil kira dosa dan pahala, tidak akan berlaku tangkapan. Kalau menteri yang jaga undang-undang pun letak jawatan atas alasan ISA disalahgunakan, kenapa kita nak gunakannya lagi.

"Lebih baik guna undang-undang lain, biar mereka yang kena tangkap berpeluang mendapat khidmat peguam dan membela diri depan hakim," katanya kepada media di JKR 10, di sini semalam.

Beliau mengulas kebimbangan penyokong pembangkang terhadap kemungkinan Anwar ditahan mengikut ISA selepas disifatkan kerajaan sebagai ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Nik Abdul Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW pun turut membenarkan sahabatnya bercakap kasar meskipun tidak disenangi sahabat lain dengan alasan sudah menjadi hak seseorang untuk bercakap dan itu juga bukti demokrasi dalam Islam.

Menurutnya, ketidaktentuan yang berlaku dalam negara sekarang adalah bukti Barisan Nasional (BN) dan Kabinet menghadapi masalah walaupun ia mungkin dianggap suatu dongeng sebelum ini.

Di IPOH, Penasihat DAP, Lim Kit Siang Lim pula mahu komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Anwar tidak akan ditahan mengikut ISA.

Katanya, beliau bimbang dengan kenyataan Abdullah yang dianggap luar biasa dan 'keras' apabila menyatakan Anwar kini menjadi ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Anwar bukan ancaman. Ia hanya menjadi ancaman kepada keselamatan politik pemimpin BN. Ancaman kepada keselamatan pemimpin BN adalah berbeza dengan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kami bimbang dengan kenyataan Perdana Menteri. Sekarang semua orang bertanya, sama ada beliau akan melancarkan Operasi Lalang 2 terhadap parti pembangkang," katanya.

No comments

Powered by Blogger.