Kerajaan cuba batalkan ikat jamin: Anwar mungkin ditahan esok

KUALA LUMPUR, 9 SEPTEMBER (SK) -PAKATAN Rakyat menghadapi ujian paling getir di era kebangkitan rakyat apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dihadapkan mahkamah pada 10 September bagi menghadapi dakwaan liwat.

Dengan tarikh tamat 16 September sekadar mengira hari, kerajaan BN dijangka akan mengembelingkan segala kekuatan berbaki dalam perbicaraan ini bagi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Anwar,61, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta 6 Ogos lalu untuk menghadapi bentuk tuduhan liwat dibawah Seksyen 337B Kanun Keseksaan, pertuduhan yang asma dihadapinya 10 tahun lalu.

Anwar mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan dibacakan Hakim S.M Komathy Suppiah dan dibebaskan dengan jaminan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.

Dengan BN yang semakin gawat, pelbagai kemungkinan buruk menanti pemimpin reformasi itu pada 10 September nanti. Perbicaraan ini akan menentukan apakah kes ditetapkan ke suatu tarikh yang lain, atau apakah kes ini akan ditukarkan ke Mahlamah Tinggi.

Kemungkinan besar juga ikat jamin Anwar ditarik balik, seraya menyebabkan pemimpin reformasi itu dipencarakan.

“Pelbagai perkara boleh berlaku,” kata Tian Chua, “Mungkin kes ini akan dibawa ke Mahkamah Tinggi, atau mungkin akan ada usaha untuk membatalkan ikat jamin yang diberikan sebelum ini . Namun yang kita pasti adalah kes ini akan menjadi terlalu politikan,”tegas beliau.

Kepulangan Anwar Ibrahim ke arena politik tanahair - selepas pertuduhan liwat 1998 digugurkan oleh Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2004 - menyaksikan tiga negeri terkaya di Malaysia dan dua negeri Melayu membentuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Selain dari menafikan majoriti 2/3 parti pemerintah, Anwar turut menandakan kepulangan dengan kemenangan besar di Permatang Pauh - kerusi yang dirampas darinya selepas pemecatan 10 tahun dahulu.

Dengan tarikh tamat 16 September semakin hampir, BN semakin terdesak. Perbicaraan kali ini juga meresahkan Pakatan Rakyat yang menggerakan sumber yang ada bagi mempertahankan Anwar, melemahkan kes pendakwaraya, termasuk membuktikan tuduhan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri itu bermotifkan politik.

Jurucakap utama pasukan peguambela dan Naib Presiden KeADILan Sivarasa Rasiah berkaya kerajaan turun sehabis mungkin bagi menghalang penghijrahan besar-besaran, dan tarikh 16 September mungkin tersasar.

“Sukar untuk memberikan tarikh yang spesifik, kerana situasinya boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kita tidak terlalu tertumpu kepada 16 September sebagai tarikh muktamad, namun kita tetap komited kepada jumlah-jumlah yang akan menyertai kita,” jelas Sivarasa.

Mengulas mengenai perbicaraan 10 September, Sivarasa Rasiah berkata kes ini sebagai ’sandiwara’, bahkan beliau optimis penubuhan kerajaan baru tidak dapat dielakkan walaupun tersasar dari tarikh 16 September nanti.

“Kita sedar BN meletakkan pelbagai halangan, namun peralihan kuasa ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Tidak ada apa yang dapat menghalangnya,” jelas Sivarasa.

Abdullah sebelum itu berikrar untuk menghancurkan sebarang usaha menjatuhkan pemerintahannya, dan sebagai langkah berjaga-jaga 16 September, kesemua Ahli Parlimen BN dibawa keluar dan disorokkan di Taiwan dari September 7 hingga 19.

Anwar dan Abdullah berulang-alik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang dilihat berpontensi berhijrah ke Pakatan Rakyat. Disebalik rundingan-rundingan yang diadakan, Anwar dan pasukan peguambelanya menghadapi ancaman dari tuduhan liwat itu - yang sekiranya disabitkan kesalahan, menghadapi 20 tahun penjara.

Mengulas hal tersebut, peguam Sankara Nair dalam satu temubual tidak menafikan pasukan peguambela akan berhadapan dengan tekanan yang hebat dalam perbicaraan kali ini.

“Banyak kerja persiapan perlu dilakukan. Umumnya, harapan terhadap kes ini adalah sangat tinggi,” jawapan beliau.

Memimpin pasukan peguambela adalah Sulaiman Abdullah, bersama-sama Sivarasa Rasiah, Sankara Nair, Leela Jeyamani Jesuthasan, Edmund Bon Tai Soon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Beebi Koya dan Mohd Raszlan Jalaluddin.

Sepuluh tahun lalu, selain dari Sankara, pasukan peguam Anwar diketuai oleh Raja Aziz Addruse bersama-sama Christopher Fernando, Karpal Singh, Zainur Zakaria, Sulaiman Abdullah, Gurbachan Singh, Zulkifli Nordin, Pawancheek Merican dan Kamar Ainiah Kamarulzaman.

“Kami sentiasa mengambil kes ini dengan serius. Beban mengendalikan kes ini sentiasa berat walaupun pernah mengendalikannya 10 tahun lalu. Apa yang penting ialah kami perlu melakukan tugas yang diberikan dengan penuh dedikasi, dan secara berterusan sehingga kes selesai,”katanya.

No comments

Powered by Blogger.