Pemimpin parti komponen BN setuju Ahmad dikenakan tindakan tegas
KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini berpuas hati dengan hasil perbincangan yang diadakan pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail.
Sambil menyifatkan kenyataan Ahmad itu telah membuatkan masyarakat Cina di negara ini berkecil hati, Ong berkata kesemua komponen parti berpeluang memberi pandangan masing-masing.
"Padangan semua ketua parti komponen diambil serius oleh keseluruhan majlis tertinggi BN. Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mendengar pandangan kami dengan fikiran terbuka dan dalam perbincangan secara terbuka.
"Semua parti komponen bersetuju bahawa situasi itu perlu ditangani secara berhatihati kerana beliau (Ahmad) memperkatakan mengenai isu-isu perkauman yang sensitif. Saya fikir hari ini kami mencapai perbincangan yang sangat baik dan sebab itu saya boleh katakan selebihnya terpulang kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ong berkata partinya telah menyuarakan pandangan yang konstruktif berhubung perkara itu.
Katanya Dewan Tertinggi juga telah diberitahu mengenai pandangan masyarakat umum mengenai kenyataan Ahmad.
"Perdana Menteri berkata tindakan sepatutnya dan tegas mesti diambil," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy pula berkata sebarang tindakan terhadap Ahmad akan diumumkan Perdana Menteri nanti.
"Kami sebulat suara, semua komponen BN telah setuju bahawa sesuatu pasti akan dilakukan kepada Datuk Ahmad Ismail," katanya.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berpendapat mesyuarat yang diadakan memandang berat semua pandangan yang diutarakan.
Beliau berkata satu bentuk tindakan mestilah diambil bagi memastikan keharmonian masyarakat yang wujud sejak 51 tahun dahulu dikekalkan.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata sentimen yang sama juga dirasai oleh masyarakat Sabah.
"Ya, semuanya pasti terasa. Sama seperti di sini," katanya ringkas.
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata Ahmad perlu diberikan hukuman atas kenyataannya berbaur perkauman itu.
"Itu semua terpulang pada pucuk pimpinan Umno untuk memutuskan hukuman," katanya. BERNAMA
No comments
Post a Comment