Muhyiddin: 'Saya tak buat salah, tidak akan letak jawatan'

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan dalam Kabinet hanya kerana desakan beberapa anggota jemaah menteri berikutan gesaannya supaya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang semula tarikh peralihan kuasa Jun 2010.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan dalam Kabinet hanya kerana desakan mereka (anggota Kabinet)," kata beliau selepas merasmikan Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008 di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim minggu lalu ekoran pandangan Muhyiddin itu.

Rabu lepas, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggesa Abdullah supaya menimbang semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama.

Malah, Abdullah juga telah melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Muhyiddin itu kerana ia dibuat oleh seorang anggota Kabinet beliau sedangkan pelan itu dipersetujui oleh Kabinet dan Majlis Tertinggi Umno.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin menambah, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan memberikan pandangan sedemikian.

Kata beliau, apa yang disuarakan minggu lalu adalah pendapat ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi.

"Saya hanya menyuarakan pendapat saya dan apa yang ahli-ahli Umno peringkat akar umbi mahukan," katanya.

Kata beliau: "Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan meminta Perdana Menteri berhenti, cuma minta Perdana Menteri memikirkan semula tempoh peralihan kuasa yang dianggap terlalu lama."

No comments

Powered by Blogger.