PKR bertanggungjawab tentukan perhimpunan Hari Malaysia tidak ganggu ketenteraman awam

PETALING JAYA: Polis meluluskan permit kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menganjurkan perhimpunan sambutan Hari Malaysia bermula 7 malam esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya di sini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.

Namun begitu, beliau mengingatkan pihak penganjur supaya memastikan perhimpunan berlangsung dalam keadaan terkawal.

Khalid berkata, pihak penganjur perlu bertanggungjawab dalam memastikan majlis berjalan secara aman dan tidak mengganggu aliran trafik yang boleh mengganggu ketenteraman kawasan sekitar stadium.

"Jika mereka berhimpun secara aman dalam stadium, kita tiada alasan untuk tidak memberikan mereka permit tetapi kita minta ia berjalan dalam suasana terkawal kerana kita tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Balik Kampung-Rumah Selamat di Subang Jaya dekat sini.

Perhimpunan itu yang dianjurkan PKR bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor dikatakan bertujuan untuk menyambut hari penubuhan Malaysia yang jatuh pada 16 September.

Khalid berkata, mana-mana pihak yang hendak menganjurkan apa jua perhimpunan aman selepas ini diminta memohon permit supaya polis dapat membuat kawalan dan pemantauan dalam memastikan aliran trafik, ketenteraman dan keselamatan awam terjaga.

No comments

Powered by Blogger.