PM: Umno akan terus berjuang walaupun di negeri dikuasai pembangkang

JITRA: Umno akan meneruskan agenda perjuangannya membela nasib agama, bangsa dan negara walaupun di negeri yang tidak dikuasai parti itu, kata Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata Umno tidak pernah jemu untuk berjuang, walaupun terpaksa akur dengan keputusan rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Apa yang penting ialah kita terus berjuang dan bukannya cuma bekerja semasa kita memerintah tetapi perjuangan harus diteruskan walaupun masa kita tidak berkuasa," katanya merujuk kepada negeri-negeri yang kini diperintah pembangkang.

Bercakap pada majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri anjuran Badan Perhubungan Umno Kedah di sini malam ini, Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan dapat kembali memerintah di Kedah berikutan usaha berterusan kerajaan pusat membela nasib rakyat negeri itu.

"Kita akan memperbaiki apa yang tidak kena dan sekarang adalah di tangan kita untuk menentukannya, dan saya yakin adalah tidak mustahil Umno jadi kerajaan balik di Kedah," katanya.

Abdullah berkata kerajaan pusat di bawah pimpinan BN akan terus membantu rakyat di negeri-negeri di bawah parti pembangkang dan ini dibuktikan dalam Bajet 2009.

Kerajaan pusat akan terus menumpukan usaha membangunkan industri pertanian di negeri itu memandangkan ia dapat menjana pendapatan kepada rakyat, katanya.

Beliau berkata selain daripada membantu rakyat miskin, Bajet 2009 itu juga akan terus mempertingkatkan bantuan jaringan keselamatan sosial dengan meningkatkan kadar bantuan kepada golongan berpendapatan rendah sehingga RM720 sebulan bagi rakyat di Semenanjung dan lebih lagi di Sabah dan Sarawak.

"Dulu bilangan yang layak menerima bantuan ialah 54,000 orang tetapi sekarang (Bajet 2009) bilangannya telah meningkat kepada 110,000 orang," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perlis Datuk Dr Md Isa Sabu. BERNAMA

dah terlambat ds nak berjuang.....kami tak nampak apa-apa perubahan pun
rakyat dah tolak BN

No comments

Powered by Blogger.