Samak Bertegas, Krisis Thai Berpanjangan

Oleh D.Arul Rajoo

BANGKOK, 7 Sept (Bernama) -- Kebuntuan politik Thailand dijangka berpanjangan selepas Perdana Menteri Samak Sundaravej berikrar untuk terus memegang jawatan dan menggunakan ucapan mingguan menerusi siaran televisyen hari ini untuk membidas pemimpin Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) yang anti kerajaan.

Meskipun beliau berulangkali didesak supaya melepaskan jawatan oleh PAD dan pihak lain yang cenderung untuk melihatnya disingkirkan, Perdana Menteri berusia 73 tahun itu berkata beliau akan terus berkuasa bagi melindungi demokrasi serta pemerintahan beraja.

"Saya tidak tahu apakah niat mereka (PAD) tetapi saya akan terus memegang jawatan Perdana Menteri," katanya menerusi saluran NBT.

Samak, yang pejabatnya ditawan oleh penyokong PAD pada 26 Ogos dan pada masa ini beroperasi dari ibu pejabat Angkatan Tentera, mengambil peluang untuk mengecam pergerakan itu dan tuntutannya yang tidak munasabah.

Membandingkan PAD dengan pergerakan pendewaan di Jepun dan Amerika Syarikat, Samak berkata ia menyemai kebencian dalam kalangan penduduk Thai menerusi ASTV yang dimiliki oleh hartawan media dan pemimpin utama PAD, Sondhi Limthongkul.

Sondhi mula melancarkan PAD pada 2006 untuk mengelolakan tunjuk perasaan jalanan secara besar-besaran terhadap Perdana Menteri ketika itu Thaksin Shinawatra. Thaksin kemudian disingkirkan dalam satu rampasan kuasa pada September, 2006 tetapi penyokongnya berjaya memperoleh semula kuasa dalam pilihan raya pada 23 Dis, 2007.

PAD sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan pada 25 Mei, dengan mendakwa Samak sebagai proksi Thaksin.

Dalam ucapannya itu, Samak, bagaimanapun tidak mengumumkan bilakah darurat yang diisytiharkannya awal minggu ini akan ditarik balik, sungguhpun beliau membayangkan dua hari lepas bahawa darurat itu gagal membuahkan hasil dan akan ditamatkan.

Bagaimanapun beliau mengulangi bahawa beliau telah berunding dengan tentera dan darurat hanya dikenakan selepas mengambil kira insiden keganasan yang tercetus antara PAD dan penyokong pro kerajaan yang mengakibatkan seorang maut manakala 40 lagi cedera.

Samak juga berkata beliau akan menghadiri sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York lewat bulan ini dan akan mengambil peluang itu untuk menjelaskan kepada komuniti antarabangsa mengenai keadaan di sini.

"Bagaimanapun saya tidak bimbang akan berlaku rampasan kuasa apabila saya tiada di sini," kata Samak, merujuk kepada penyingkiran Thaksin yang berlaku hanya beberapa jam sebelum beliau dijadual berucap pada perhimpunan agung itu.

-- BERNAMA

hang ni memang sama dengan pm aku la......lembut-lembut dia tapi keras gak hehehe....tanya pak lah la..

No comments

Powered by Blogger.