'Saya Pastikan 16 Sept Tidak Akan Berlaku,' Kata Abdullah

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tidak ada Anggota Parlimen Barisan Nasional yang akan meninggalkan parti itu menjelang 16 Sept ini untuk menyertai pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

"Saya pastikan 16 Sept tidak akan berlaku. Pakatan Rakyat bergantung kepada ahli-ahli parti kita untuk meninggalkan kita tetapi orang kita tidak akan meninggalkan kita," kata Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali berkata bahawa ramai Anggota Parlimen BN akan menyertai pembangkang bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan pada 16 Sept ini.

"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 Sept. Tidak," kata Abdullah pada sidang akhbar selepas melancarkan Business Licensing Electronic Support System (BLESS) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu tidak mungkin berlaku jika ia hanya berpaksikan kepada faktor penghijrahan oleh anggota BN ke pembangkang.

Sebaliknya, kata Abdullah, adalah lebih wajar jika perhatian diberi kepada usaha meningkatkan kemajuan negara.

"Kerajaan tumpu pada kerja dan bukan memikirkan sesuatu yang mungkin berlaku. Tumpu pada kerja untuk menjadikan negara ini lebih baik, meningkatkan produktiviti dan keberkesanan dan banyak lagi," katanya.

Perdana Menteri juga berkata beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memaklumkan segala perkembangan kepada Seri Paduka Baginda.

"Saya beri taklimat mengenai apa yang berlaku. Saya juga bercakap apa yang diambil berat ialah perniagaan berjalan seperti biasa. Kita telah melakukan segala-galanya untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran ketika berurusan dengan rakyat.

"Pengundi telah beri amaran tentang apa yang tidak menggembirakan mereka tetapi mereka juga memberi sokongan yang mencukupi untuk (BN) menubuhkan kerajaan. Kita menyampaikan apa yang telah dijanjikan. Tuanku gembira dengan apa yang kita lakukan," katanya.

Mengenai lawatan sambil belajar ke luar oleh anggota Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Ahad ini sehingga 15 Sept nanti, Perdana Menteri berkata program itu tidak perlu dikaitkan dengan penubuhan kerajaan oleh Pakatan Rakyat pada 16 Sept ini.

"Kalau mereka nak pergi, biarlah mereka pergi, apa nak hubung kaitkan dengan September. Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.