'SINGAPURA TINGKAT EKONOMI, KITA SIBUK BERPOLITIK'

"Di petik dari CyBerita:

SEDANG kita menghabiskan tenaga menangani politik dalaman dan penderitaan akibat kelembapan ekonomi, para pemimpin jiran kita, Singapura, gigih meningkatkan ekonomi mereka.

Mereka terus mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai kuasa ekonomi dan turut melawat Timur Tengah, Russia dan Amerika Selatan demi meluaskan pasaran luar negara, justeru mempertingkat daya saing negara itu dalam jangka panjang.



Kejayaan Singapura, yang dianggap sebagai satu keajaiban di Asia Tenggara, menarik rasa kagum dan cemburu.

Mereka yang memuji kini kehabisan kekata pujian seperti 'bebas rasuah', 'bersih', 'makmur' dan 'progresif'.

Mereka yang mengkritiknya menyifatkan negara itu sebagai negara kecil dengan sebuah parti pemerintah dan tidak ada kebebasan bersuara, dan memandangkan rakyatnya patuh pada undang-undang, mudah memerintahnya.

Oleh itu, kejayaan ekonominya bukan satu perkara luar biasa.

Dengan penduduk sekitar 4.48 juta dan kawasan seluas hanya 707 kilometer persegi, Singapura memang sebuah negara kecil tetapi tidak sesekali lebih kecil berbanding banyak negara lain dari segi pengaruhnya di dunia.

Commonwealth, sebuah majalah berpengaruh Taiwan, dalam satu wawancara dengan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, berkata:

'Singapura sebuah negara kecil dan penduduk yang kecil, adalah sebuah negara besar dari segi bakat, dan memainkan peranan besar di dunia bukan sahaja sebagai hab kewangan antarabangsa, malah sebagai pelabuhan kedua tersibuk dunia.

'Ia mempunyai lebih 7,000 syarikat asing sedang 4,000 syarikat atau sekitar 60 peratus daripada ibu pejabat Asia terletak di sini.'

Sebuah negara dengan pencapaian luar biasa, Singapura pernah menjadi sebahagian wilayah Malaysia. Ia menjadi koloni Britain pada 1824 dan menyertai Malaysia pada 1963.

Dipaksa keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, Singapura menjadi sebuah negara merdeka. Sehingga hari ini, ramai warga Malaysia kecewa dengan kemerdekaan Singapura.

Generasi lama Malaysia dan Singapura tidak akan lupa saat apabila Encik Lee Kuan Yew, dengan linangan air mata, mengumumkan di televisyen tentang pengeluaran negara itu dari Malaysi dan berkata:

'Dunia ini bak satu lautan di mana ikan besar hidup dan begitu juga dengan udang. Singapura akan menjadi seperti udang bertakat di lautan antarabangsa.'

Terus terang, tidak ramai akan menyangka negara kecil itu, kekurangan dari segi sumber alam dan manusia, akan bertakat tetapi si 'tompok merah' yang dilihat sebilangan anggota politik telah menjadi negara paling makmur, kuat dan maju di Asia Tenggara dalam masa kurang dua dekad.

Malaysia lebih besar dari segi saiz dan enam kali lebih banyak dari segi penduduk berbanding Singapura tetapi selepas 43 tahun perpisahan itu, Malaysia hanya boleh berasa cemburu terhadap Singapura sedang ia tidak boleh dibandingkan dengan negara itu dari segi kekuatan ekonomi.

Hari ini, pendapatan per kapita Singapura ialah AS$30,228 atau RM102,775 atau enam kali ganda berbanding Malaysia AS$5,040.

Singapura memang mempunyai kekuatannya.

Pemerintahnya yang 'bersih' dan berkesan, dasar ekonominya yang fleksibel dan terbuka serta usahanya mencari bakat di merata dunia adalah satu perkara yang boleh kita contohi.

Artikel Commonwealth menyamakan Singapura bak besi berani raksasa yang menarik bakat asing. Pekerja asing membentuk 33 peratus atau lebih sejuta daripada hampir tiga juta pekerja di Singapura.

Rakyat Malaysia membentuk majoriti daripada sejuta pekerja asing ini. Kepada mereka, Singapura adalah tempat mencari pendapatan sedang Johor Bahru adalah tempat untuk tinggal.

Pemerintah Singapura memberi status penduduk tetap kepada sekitar 30,000 warga asing setahun. Ramai daripada mereka adalah pelajar Malaysia yang bijak dan direkrut pihak universiti di Singapura.

Pelajar ini memilih ke Singapura selepas ditolak permohonan ke universiti di Malaysia kerana pelencongan dasar dan gagal mendapatkan tempat di kursus pilihan mereka atau tidak mendapat biasiswa kerajaan walaupun dengan keputusan cemerlang.

Umumnya, mereka akan kekal bekerja di Singapura selepas tamat sekolah dan akhirnya menjadi rakyat di sana.

Apabila kita melihat bagaimana Singapura berusaha mempertingkat ekonominya dan bagaimana Malaysia terperangkap dalam tikai politik, senario cerah Wawasan 2020 mula kelihatan kabur.

No comments

Powered by Blogger.