Tidak semua jual tiket bas pada harga dengan surcaj
KUALA LUMPUR 1 Sept. — Tidak semua pengusaha bas ekspres dan henti-henti menjual tiket pada harga baru berikutan pelaksanaan surcaj 30 peratus sementara ke atas tambang bas bermula 15 Sept ini.
Tinjauan Bernama ke terminal Hentian Putra, yang menempatkan perkhidmatan bas ke pantai timur, dan Terminal Utama Hentian Duta, untuk perkhidmatan bas ke utara, mendapati masih terdapat kaunter bas yang mengekalkan harga tambang sedia ada.
Penjual tiket bas ekspres MARA Liner di Hentian Putra yang hanya dikenali sebagai Alias berkata pengurusan syarikatnya masih belum memutuskan tarikh untuk menjual tiket pada harga baru.
Mohd Faizul Noor, penjual tiket bas Etika Ekspress di Hentian Duta, pula berkata tiket untuk musim perayaan dengan harga baru hanya akan dijual selepas 15 Sept ini.
“Bagi perjalanan ke utara tiada masalah kerana bas mencukupi. Tiket untuk musim perayaan hanya akan dijual selepas 15 haribulan (September),” katanya.
Bagi seorang jurutera yang hanya dikenali sebagai Azrul, beliau tidak begitu memilih jenis bas yang akan dinaiki asalkan tambangnya masih pada harga lama.
“Saya ikut sahaja apa bas yang ada, janji kena dengan tarikh saya mahu balik. Harap-harap bukan bas tambahan,” katanya yang ditemui ketika berbaris lebih sejam di kaunter Bas Sutera untuk pulang ke Kota Bahru sempena hari raya ini.
Kadar surcaj 30 peratus, yang berkuatkuasa selama sebulan mulai 15 Sept ini, adalah langkah sementara sebelum keputusan berhubung kenaikan kadar tambang bas ekspres selepas musim perayaan pada Oktober ini diambil.
Di kaunter bas di Hentian Putra dan Hentian Duta yang telah menjual tambang pada harga baru, sambutan orang ramai juga mengggalakan.
“Sudah hampir satu jam saya beratur di sini. Tapi demi untuk mendapatkan tiket balik kampung walaupun harga naik, terpaksalah,” kata Abdul Kadeer Sagheer Ahmad yang akan pulang berhari raya di Kota Bahru.
Seorang pekerja swasta, Lizawati Ali, 26, berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk membeli tiket ke Pulau Pinang kerana masih terdapat banyak lagi tiket dijual di kaunter.
“Tiket banyak lagi. Keadaan masih terkawal tidak seperti pengguna hendak pulang ke Timur. Harga naik tapi kami pengguna tiada pilihan,” katanya.
Bagi seorang kakitangan kerajaan Maimunah Hashim, 27, beliau terkilan kerana terpaksa menaiki bas di Stadium Putra Bukit Jalil untuk pulang ke Johor Baharu disebabkan arahan kerajaan untuk mengelakkan kesesakan di Puduraya.
“Saya tidak kisah pasal harga naik sikit tapi saya hendak ada kemudahan bila pulang. Ini pertama kali saya berhadapan masalah ini. Walaupun kami disediakan bas pengantara ke situ tetapi ini memang menyusahkan pengguna yang terpaksa bawa beg, anak-anak kecil dan lain-lain lagi,”katanya.
Penyelia Operasi Kaunter jualan tiket Konsortium Mutiara Bhd di Hentian Putra, Mohd Najib Mustapa, 25, berkata tiket bas untuk ke pantai timur masih dijual walaupun tempahan tiket bagi perjalanan pada 26, 27 dan 28 haribulan ke pantai timur telah habis dijual.
“Walaupun syarikat kami tidak sedia bas tambahan tahun ini tetapi kami rasa tiket mencukupi,” katanya.
— BERNAMA
No comments
Post a Comment