Zaid akui gagal, hadapi tentangan pelbagai pihak

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengakui kegagalannya memastikan ketelusan undang-undang dan kesaksamaan dalam segala hal diamalkan di negara ini.

"Saya minta maaf pada rakyat Malaysia. Saya telah gagal menegakkan prinsip yang saya pegang iaitu memastikan sistem perundangan yang telus dan saksama bagi semua rakyat.

"Saya gagal kerana dalam tempoh enam bulan dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri menjaga hal ehwal undang-undang saya telah menghadapi banyak cabaran dan dinding batu. Saya menghadapi tentangan dari parti saya dan rakan dalam Kabinet sendiri yang tuduh kononnya saya bukan pejuang bangsa dan agama yang tulen, seolah-olah saya kurang Melayunya," katanya pada sidang media terakhirnya di pejabatnya di sini.

Zaid menghantar surat letak jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Katanya, dengan meletakkan jawatan setelah hanya enam bulan sebagai menteri bukan bererti beliau mengaku kalah.

"Saya mengharapkan tindakan saya ini akan menyebabkan pihak-pihak tertentu terpanggil untuk menyokong perubahan. Jika dengan cara ini sahaja keadan akan berubah, saya anggap ia sesuatu yang positif," katanya sambil menambah sepanjang tempoh itu beliau terpaksa menghadapi pelbagai tohmahan dan saranan daripada anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menggesa agar beliau dipecat kerana tidak membela bangsa.

Zahid menjelaskan, beliau menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri semalam dan pada sebelah petangnya beliau telah menemui Abdullah dikediaman rasminya di mana beliau telah menjelaskan secara terperinci sebab-sebab beliau meletakkan jawatan.

"Saya menerima tawaran menjadi menteri berpandukan prinsip dan keinginan untuk membantu Perdana Menteri dan Barisan Nasional berubah pendirian, pandangan, falsafah. Saya telah berterus terang kepada Perdana Menteri sejak dahulu lagi, khususnya keinginan saya mengurangkan unsur-unsur yang boleh menjurus kepada salah guna kuasa dalam badan perundangan dan memastikan ketelusan, dan Perdana Menteri telah bersetuju.

"Tetapi saya hanya berjaya mendapatkan pembayaran ex-gratia untuk bekas hakim yang dipecat dahulu. Oleh kerana saya kini menjadi satu masalah kepada Perdana Menteri, sedangkan beliau sendiri sedang menghadapi banyak cabaran, saya rasa lebih baik untuk Umno, untuk negara dan untuk semua jika saya meletakkan jawatan," katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri telah menasihatkan beliau agar jangan meletakkan jawatan, tetapi mengambil cuti panjang, tetapi beliau menolaknya.

"Saya bukannya letih, saya kecewa. Jadi tidak perlu saya bercuti. Keputusan saya ialah berhenti. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk meminta maaf pada rakyat Malaysia atas kelemahan saya. Ini adalah keputusan saya, dan juga isteri saya," tambahnya.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai Parti Keadilan Nasional seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak, Zaid enggan menjawab dengan jelas.

"Masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan. Tetapi seperti yang anda maklum, saya telah diperlakukan kurang baik oleh Umno. Saya pernah digantung keahlian dan pandangan saya tidak diterima. Saya berfikiran terbuka (masuk PKR) dalam hal ini," katanya sambil menafikan bahawa beliau telah pun didatangi oleh pemimpin tertentu dalam PKR mengajaknya menyertai parti yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ditanya mengenai rancangan masa depan, Zaid berkata, beliau tidak berniat kembali ke karier guaman, sebaliknya akan menubuhkan yayasan khas untuk mengukuhkan perpaduan kaum yang beliau lihat semakin buruk hari ini.

Katanya yayasan itu akan dinamakan My (Malaysia) Hope -- atau Harapan Malaysia dan ia akan bergerak untuk mempromosi kesamarataan dalam segala hal di negara ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

-mSTAR Online

No comments

Powered by Blogger.