Ahmad Said Jangan Ulangi Kesilapan Idris Jusoh - Malaysiakini
”Saya hendak memperingatkan pemimpin negeri ini supaya mengambil peringatan tidak mengulangi kepincangan dan penyelewengan kerajaan BN lalu dibawah Menteri Besar Dato Seri Idris,”
“Saya mengikuti perkembangan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan negeri dan yang terakhir ini berkait dengan Kelab Teluk Warisan atau Heritage Bay Club (HBC),” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali sidang media sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Terengganu, di Taman Sri Intan Jalan Sultan Omar, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad bahawa kerajaan negeri bertindak mengambil alih hak Kelab Teluk Warisan Pulau Duyong – Heritage Bay Club (HBC) setelah lebih tiga tahun diuruskan oleh kontraktor pembinaan resort tersebut tanpa pengetahuan rasmi kerajaan.
Pada 21 Oktober lalu, Ahmad berkata asalnya Kelab Teluk Warisan adalah di bawah pengurusan kerajaan negeri tetapi kontraktor yang membinanya tidak menyerahkannya kepada kerajaan negeri setelah ia siap dibina sedangkan pembinaan resort tersebut adalah menggunakan dana khas.
Menurut Mustafa, kenyataan Ahmad itu mendedahkan dan menjelaskan apa yang PAS sebut selama ini bahawa pembiayaan projek tersebut adalah daripada duit royalti yang dinamakan dana khas, adalah benar.
Justeru PAS kesal kerana projek kerajaan pusat tidak dikendalikan secara telus dan tidak menepati kaedah-kaedah pembangunan yang sebenarnya.
Mustafa mempersoalkan mengapa projek yang sudah siap tiga tahun lalu baru diambil alih kerajaan dan meminta kerajaan menjelaskan kedudukan pengurusan resort tersebut.
”Kalau saya anggap kenyataan MB itu sebagai satu pendedahan, bahawa kerajaan baru mengambil alih dari kontraktor sedangkan selama ini apa yang dibuat sudah siap,
“pulangan duitnya dimana? sedangkan belanjanya RM200 juta,”ujar Mustafa.
Beliau berkata ia (pengurusan projek tersebut) seharusnya menjadi pengajaran kepada kerajaan negeri kerana royalti (minyak) yang menjadi hak rakyat negeri Terengganu telah disalahgunakan.
”Ini seharusnya menjadi pengajaran bagaimana hak rakyat negeri Terengganu iaitu wang royalti ini telah disalahgunakan bukan untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh rakyat,
“masalah kemiskinan, masalah kurang pekerjaan, penganggguran, pembangunan sebenar untuk rakyat menikmati secara jangka panjang dan masalah sosial tidak diberikan keutamaan,”kata beliau.
Katanya, pemerintahan UMNO/BN yang lepas hanya memberi tumpuan kepada projek-projek yang memakan belanja berbillion ringgit termasuk pembangunan muara sungai Terengganu.
Justeru itu, PAS mengingatkan Ahmad sebagai Menteri Besar dan ketua kerajaan agar menyelesaikan tuntutan wang royalti sebaik-baiknya dan mengikut lunas undang-undang.
”Berkait dengan ini saya (PAS) minta supaya Menteri Besar sebagai ketua kerajaan dalam usaha untuk mengembalikan royalti ini supaya pastikan betul-betul,
“berapa yang negeri Terengganu dapat, berapa yang telah dibelanjakan sebelum ini tanpa kerajaan negeri dan berapa bakinya yang masih tinggal,
“supaya ianya dapat satu gambaran yang jelas kerana ia berkait dengan hak dan kes ini berada di mahkamah, mestilah ia dijelaskan mengikut undang-undang,”tambah Mustafa.
No comments
Post a Comment