TG Nik Aziz dijangka keluar hospital ~malaysiakini



MENTERI Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin sihat dan dijangka dapat menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan Bajet 2009 Kelantan, jika dibenar keluar dari hospital dalam tempoh terdekat.

Nik Abdul Aziz yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, berkata setelah mendapat rawatan di hospital itu sejak Sabtu lepas, keadaan kesihatannya bertambah baik.

"Saya tidak dapat hadir perasmian sidang DUN sebab masalah kecederaan tempurung lutut sebelah kiri, ia kesan daripada terjatuh kuda dahulu.

"Masalah ini timbul selepas pulang daripada Majlis Mesyuarat Raja-Raja di Kuala Terengganu Khamis lepas. Tapi, kini ia bertambah baik dan saya harap dapat hadir sidang DUN," katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

Nik Aziz berkata bagaimanapun beliau perlu menjalani fisioterapi.

Terdahulu, Nik Abdul Aziz, 77, menerima kunjungan rombongan wakil rakyat Barisan Nasional Kelantan diketuai Ketua Pembangkang yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Turut serta Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noorzahidi Omar dan Adun Paloh,Datuk Nozula Mat Diah.

Sidang DUN Kelantan yang bermula Isnin lepas akan berakhir 29 Okt. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.