malunya khairy~malaysiakini




KUALA LUMPUR 24 Okt. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (gambar) memerlukan dua lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan Mac depan.

Sehingga hari ini, Naib Ketua Pemuda itu menerima 37 pencalonan iaitu kurang dua daripada kuota kelayakan 39 pencalonan.

Sebanyak tiga Pemuda bahagian bersidang hari ini dan satu daripadanya mencalonkan Khairy iaitu Hulu Terengganu.

Dua lagi bahagian iaitu Kubang Pasu mencalonkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir manakala Marang mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Pencalonan daripada dua bahagian itu membolehkan Mukhriz meningkatkan jumlah pencalonan yang diterimanya kepada 64 manakala Mohamad Khir pula 30.

Khairy dijangka melepasi kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda esok apabila 14 lagi Pemuda bahagian akan bersidang.

Bahagian terbabit ialah Kulim/Bandar Baharu, Kluang, Sri Gading, Petaling Jaya Utara, Sipitang, Sandakan, Penampang, Tambun, Parit, Lumut, Sabak Bernam, Tangga Batu, Maran dan Seputeh.

Sementara itu, ketiga-tiga Pemuda bahagian yang bersidang hari ini mencalonkan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim untuk jawatan Naib Ketua Pemuda.

Ia menjadikan jumlah pencalonan yang diterima Razali sehingga hari ini meningkat kepada 66 manakala pencabar terdekatnya, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Reezal Merican Naina Merican kekal dengan 52 pencalonan.

Razali dan Reezal telah melayakkan diri untuk bertanding jawatan tersebut apabila berjaya melepasi kuota 29 pencalonan sejak minggu lalu.

Sehingga hari ini 133 daripada 191 Pemuda bahagian di seluruh negara selesai bersidang.

No comments

Powered by Blogger.