Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan ~malaysiakini
KOTA BHARU, 20 Okt (Hrkh) - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa projek kerajaan Persekutuan yang belum dilaksanakan di Kelantan.
Antaranya pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang mana sehingga hanya mencapai kemajuan 10 peratus, biar pun perletakan batu asas sudah lebih setahun berlalu.
Oleh itu baginda mahu kerajaan pusat mempergiatkan semua projek pembangunan dalam rancangan Malaysia Ke-9 memandangkan pelaksanaannya begitu perlahan.
"Bahkan ada di antaranya masih belum dimulakan pembinaannya," titah baginda ketika merasmikan majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan yang Ke-12 di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis perasmian itu Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Sebelum ini ketibaan baginda disambut Speaker Dewan Undangan Negeri, Ustaz Nasurudin Daud, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Baginda juga memeriksaan perbarisan anggota pasukan Gerak Am dari Batalion ke-8, Pengkalan Chepa.
Titah baginda projek-projek lain yang dalam pelaksanaan seperti pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli juga perlu diambil perhatian.
"Oleh yang demikian beta menyeru agensi yang terlibat memantau pelaksanaan projek yang dirancang supaya berjalan mengikut jadual.
"Beta juga mendapat maklum Kelantan adalah di antara negeri yang disenaraikan dengan projek hub halal dalam RMK-9 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, bagaimanapun ia juga belum dilaksanakan," titah baginda.
Sehubungan itu baginda menyarankan kerajaan negeri memberi penekanan ke atas pelaksanaan hub halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal di negeri ini.
Baginda turut menyarankan kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu � Kuala Krai dan pelebaran jalan Gua Musang � Kuala Lipis.
Menurutnya pembangunan tersebut begitu penting bagi memastikan segala program yang dirancang di bawah Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Tumur (ECER) berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
Tambahnya dalam pelan induk ECER, kerajaan pusat telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 53 projek utama di Kelantan.
Bagaimanapun baginda mempertikaikan mengapa pelabuhan tidak disenaraikan sebagai salah satu projek infrustruktur di bawah ECER walaupun kerajaan negeri telah meluluskan tiga projek pelabuhan.
"Beta berharap kerajaan pusat boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini kerana ia boleh memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi Kelantan pada masa akan datang," titah baginda.
No comments
Post a Comment