anakku nizar~malaysiakini

Nizar Najib nak kenali UMNO dari bawah

TIDAK ramai antara perwakilan mesyuarat UMNO Bahagian Titiwangsa yang bersidang di sebuah hotel di Ampang, Ahad sedar kehadiran pemuda ini yang duduk di barisan depan pentas bersama beberapa perwakilan Pemuda UMNO bahagian itu.

Kalau yang mengetahuinya barangkali rakan- rakan beliau serta pimpinan tertinggi bahagian UMNO yang diketuai bekas Menteri Kesihatan itu, Datuk Seri Sulaiman Mohamad.

Jika beliau memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Nizar, mungkin perwakilan tidak ambil kisah kerana ada 488 perwakilan hadir di mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, itu yang dikehendaki pemuda berusia 30 tahun itu yang kini adalah Ketua Pemuda UMNO cawangan Jalan Daud, Zon Kampung Baru dalam Bahagian Titiwangsa.

Mohd Nizar bakal bapa kepada dua anak tidak lama lagi, tidak mahu orang ramai atau perwakilan mendekatinya kerana beliau anak Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau tidak mahu diberikan layanan istimewa semata-mata ayahandanya Timbalan Perdana Menteri dan bakal menerajui negara selepas pelan peralihan kuasa Mac depan.

Perunding Pengurusan ini ingin mengenali UMNO daripada peringkat bawahan bukannya terus ke puncak menggunakan kelebihan kedudukan Najib yang dipanggil ayahanda.

“Saya tahu, ini (anak Najib) memang unik tetapi bukan advantage…saya kena guna dengan betul elak, makan diri,” katanya.

Mohd Nizar berkata, ayahandanya tidak menghalang beliau terjun ke dunia politik selepas mereka dan keluarga berbincang.

“Ayahanda harap saya berfikir sendiri dan tak paksa,” katanya.

Menurutnya, antara lima beradik, hanya beliau terbabit politik sejak setahun lalu.

Beliau sekaligus menyambung kesinambungan politik Najib dan bakal jadi ikon terbaru politk generasi bekas Perdana Menteri ke dua, Tun Abdul Razak Hussin.

Ditanya kenapa memilih UMNO, Mohd Nizar berkata, parti itu memberi banyak sumbangan kepada rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.

“UMNO perlu harus hidup demi masa depan orang Melayu. UMNO perlu terus kekal demi politik dan ekonomi orang Melayu,” ujarnya penuh semangat kepada Pengarang Berita Agendadaily, ROSLAN BIAN yang duduk menemaninya makan tengahari ketika persidangan ditangguhkan.

Katanya, golongan muda termasuk beliau perlu mengenang jasa UMNO dan berjuang memastikan kesinambungan parti itu.

Beliau melahirkan kecewa kerana golongan muda tidak mahu mengenali dan mendekati UMNO sebaliknya seolah-olah menentang parti yang memberikan pelbagai manfaat selama ini.

Mohd Nizar jelas merujuk ucapan perasmian Sulaiman pada sebelah pagi yang berkata, ketika ahli dan permimpin UMNO berjuang memastikan parti itu terus hidup, anak-anak mereka pula dalam keadaan membenci parti.

“Kita menikmati kemudahan pendidikan kerana perjuangan parti ini. Golongan muda harus kenang semua ini,” ujarnya.

Ditanya, rasionalnya memilih UMNO Cawangan Jalan Daud, Kampung Bharu, Mohd Nizar berkata, beliau ingin bersama-sama pemimpin di situ mencari idea terbaik memajukan kawasan berkenaan tanpa meminggirkan penduduk asal di situ.

Lagipun katanya, beliau bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Jalan Maktab tidak jauh dari cawangannya.

Berbual hampir setengah jam terutama ketika membicarakan soal bangsa Melayu yang kini semakin tertekan, Mohd Nazir seperti ayahandanya, penuh visi dan beliau amat berharap turut dapat memberi sumbangan besar kepada orang Melayu dan negara.

Barangkali pepatah, kemana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi.

“Biarlah saya bermula dari sini (cawangan UMNO). Saya ingin lalui proses dari bawah..doakan saya,” ujarnya sebelum meminta diri untuk solat Zohor.

Mohd Nizar mendirikan rumahtangga dengan Nur Sharmila Shaheen, 29, dan memperolehi cahayamata pertama menjelang Ramadhan 2006 dan bakal menerima kehadiran penyeri hidup kedua, awal tahun depan.

Anak pertamanya Mohd Nabil, mengekalkan tradisi huruf “N” dalam keluarga Najib.

Mohd Nizar dan Sharmila berkahwin pada Jun 2004.

Mohd Nabil juga merupakan cicit lelaki pertama Allahyarham Tun Abdul Razak.

http://agendadaily.com

No comments

Powered by Blogger.