Mahasiswa mahu MPP turun padang ~malaysiakini


Keputusan rasmi PRK yang diumumkan petang tadi selepas tamat waktu bantahan mengesahkan calon-calon yang menang semalam dinobatkan sebagai barisan kepimpinan MPP yang baru. Rata-rata mahasiswa yang ditemui berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan dan ini menunjukkan proses demokrasi masih wujud di UPSI. Dalam satu tinjauan yang dibuat bersama mahasiswa, mereka dikatakan menginginkan kepimpinan yang komited dan mahu turun padang bersama mahasiswa di bawah. Seorang pelajar semester 5, yang mahu dikenali sebagai Amir, dipetik sebagai berkata, mahasiswa tidak terlalu memandang apa bentuk program yang mereka buat dan ke mana mereka telah pergi sepanjang memegang jawatan MPP tapi kami mahu MPP sedia turun padang dan tinjau masalah yang kami hadapi secara terus. Seorang lagi mahasiswa memberi pendapat bahawa MPP harus ke depan dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan maklumkan kepada kami segala perkembangan yang berlaku dalam sesuatu masalah dan ini akan mendekatkan lagi mahasiswa di bawah dengan MPP.
Beberapa pengirim e-mel kepada Upsikini juga meminta agar kepimpinan baru MPP membuang rasa bangga dengan jawatan dan sentiasa mendengar dan bertindak dengan aduan daripada mahasiswa. Sementara itu, ada pendapat mengatakan MPP yang baru ini harus terus berjumpa mahasiswa dengan mengadakan satu program interaksi bersama mahasiswa di kolej-kolej kediaman dan di situ mahasiswa boleh mendengar harapan barisan MPP baru dan harapan mahasiswa kepada mereka. Pengirim itu juga dipetik sebagai berkata, kami mahu melihat mereka berucap selepas mendapat kemenangan kerana ucapan mereka semasa berkempen pasti berbeza dengan ucapan selepas mencapai kemenangan dan dari situ kita akan mula mengenali mereka secara lebih dekat. Upsikini juga menerima banyak pendapat yang mahu satu program bersama MPP baru ini diadakan bagi mendengar pidato mereka mengenai hala tuju yang ingin dibawa selain mendengar keluhan mahasiswa yang ingin disampaikan kepada barisan MPP baru.

No comments

Powered by Blogger.