SARANAN PAKATAN RAKYAT UNTUK BELANJAWAN 2009

PENDAHULUAN MENANGANI KEMELUT EKONOMI DAN MEMULIH KEYAKINAN

Pakatan Rakyat dengan penuh rasa tanggungjawab ingin mengemukakan beberapa cadangan kepada Dewan Rakyat ketika ahli Parlimen masih meneruskan perbahasan Belanjawan 2009 yang telah dibentangkan pada 29 Ogos tahun ini. Saranan kami dikemukakan berdasarkan realiti terkini krisis ekonomi dan kewangan global, kejatuhan teruk pasaran komoditi serta kesan beberapa faktor lainnya terhadap Malaysia.

Kepincangan Belanjawan 2009 tampak jelas, bukan sahaja pada jangkaannya tetapi juga preskripsi untuk mengemudi negara bagi mengharungi badai kemelesetan ekonomi global yang dijangka berpanjangan pada 2008 dan 2009. Kepimpinan negara seolah-olah tidak mempunyai arah tuju dan seperti tidak menyedari kemunculan cabaran dalam bentuk inflasi, peningkatan pengangguran dan penguncupan kemasukan dana asing. Yang lebih menakutkan adalah sikap tidak mahu mengakui (state of denial) ramalan kemuraman ekonomi. Kebanyakan negara maju, yang selama ini menjadi rakan dagang penting ekonomi Malaysia, sedang bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi terburuk semenjak dari setengah abad yang lalu. Namun para pemimpin kita masih belum atau tidak langsung membuat sebarang kenyataan atau merangka polisi yang menunjukkan pemahaman mereka terhadap realiti ini.

Terdapat keperluan mendesak bagi Ahli Dewan dari kedua-dua belah pihak untuk bertukar-tukar fikiran bagi merangka belanjawan yang lebih dipercayai serta rancangan yang lebih bertanggungjawab untuk mengurus dan membelanjakan perbendaharaan negara.

Parti pemerintah setakat ini telah membuktikan bahawa mereka tidak mampu mendepani dialog sebegini. Pandangan yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat tidak dibahaskan dengan baik kerana kebanyakan Ahli Dewan Rakyat BN dan para Menterinya tidak menghadirkan diri di Dewan Rakyat. Ini mencerminkan sikap sombong dan ketidakprihatinan terhadap penderitaan rakyat yang hidup menderita akibat kesan dari situasi ekonomi yang tidak menentu.

Kami percaya kepada proses demokrasi dan berpegang teguh dengan janji kami kepada rakyat Malaysia. Kami mewakili kepentingan mereka dan akan berjuang bersungguh-sungguh untuk menentang korupsi dan kronisme yang telah menjadi sebab utama kepada ketidaktentuan ekonomi negara ini. Kami akan melaksanakan tugas kami bagi mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab dalam hal ini demi memastikan sumbangan para pembayar cukai dan kekayaan hasil semulajadi negara ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk rakyat dan masa depan negara ini.

Untuk teks penuh Bahasa Melayu:

Untuk teks penuh Bahasa Inggeris:

PEJABAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.