Beberapa nama dicadangkan untuk rombakan Kabinet: Tee Keat
PEKAN: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau sudah mempunyai beberapa nama untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkaitan rombakan Kabinet yang bakal dilakukan.
Bercakap kepada pemberita, di sini, beliau berkata, ia termasuk beberapa nama baru yang akan dicadangkan kepada Perdana Menteri.
"Nama baru (bagi jawatan dalam Kabinet) itu memang sudah ada tapi biarlah kami rahsiakan dulu sehingga ia diumumkan kelak sebaik saya selesai berjumpa dengan Perdana Menteri," katanya mengulas kenyataan Abdullah di Beijing, China semalam.
Ong berkata, beliau akan berjumpa dengan Abdullah bagi membincangkan rombakan Kabinet itu, awal bulan depan.
Beliau berkata, perubahan dalam pucuk pimpinan MCA selepas Perhimpunan Agung MCA, baru-baru ini, mememerlukan rombakan dilakukan.
yang berkata rombakan Kabinet mungkin akan dilakukan dalam masa terdekat berikutan perubahan kepada pucuk pimpinan dalam MCA selepas pemilihan parti itu minggu lalu.
Bagaimanapun Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Presiden MCA yang baru (Ong), perlu berjumpa dengannya untuk memaklumkan sebarang cadangan perubahan wakil parti itu dalam Kabinet yang mahu dilakukan.
Terdahulu, Ong dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah ke-78, di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, semalam.
Bagaimanapun Ong berkata, buat masa ini beliau tidak dapat berjumpa Abdullah kerana Perdana Menteri sedang menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Eropah (ASEM) ketujuh di Beijing, China.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dalam beberapa hari ini, beliau juga akan keluar negara atas beberapa urusan dan kemungkinan untuk bertemu Abdullah dijangka akan dilakukannya awal November depan.
Mengulas mengenai isu tuntutan jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua oleh MCA, Tee Kiat berkata, perkara terbabit pernah dibangkitkan Pemuda MCA dan apa-apa keputusan perlu melalui Perdana Menteri.
"Banyak perkara mustahak hendak saya bincangkan dengan Perdana Menteri dan saya amat berharap pertemuan ini akan menghasilkan satu keputusan yang positif untuk kebaikan bersama," katanya.
Mengenai darjah kebesaran SSAP yang dikurniakan kepadanya oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Ong berkata, anugerah diberikan adalah satu penghormatan yang besar terhadap dirinya.
"Justeru, seperti mana titah Diraja, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memajukan rakyat dan negara termasuk di negeri Pahang ini.
Sementara itu, selain Ong, dua menteri Kabinet lain turut menerima kurnia yang sama iaitu Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
No comments
Post a Comment