ANTARA PDRM DAN ATM


Benar atau tidak, suka atau tidak kita terpaksa menerima hakikat pahit betapa imej PDRM terus tercalar dan lebih malang lagi ianya berterusan menjelang tahun baru 2009. Kita tidak pasti mengapa PDRM terlalu sukar untuk memulihkan imejnya di mata masyarakat meskipun berbagai perubahan telah cuba dilakukan termasuk menubuhkan suruhanjaya pembaikan terhadap pasukan keselamatan itu. PDRM harus menyedari bahawa segala kritikan orang ramai terhadap pasukan mereka bukan untuk memperlecehkan pasukan keselamatan tersebut apatah lagi untuk mencemarkan imej PDRM itu sendiri. Segala kritikan dan pandangan yang diberikan tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menambah baik prestasi dan imej PDRM keseluruhannya.

Apa yang telah terjadi kepada PDRM ketika ini amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pasukan keselamatan yang lain terutamanya ATM. Imej ATM suatu ketika pernah terpalit dengan peristiwa Sauk, tetapi ianya telah dijadikan pengajaran oleh ATM dan pasukan keselamatan tersebut bertindak segera untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap ATM. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ATM kelihatan semakin mesra di hati rakyat jelata dan kurangnya aduan serta kritikan yang diterima daripada orang ramai terhadap ATM. Salah satu faktor ATM semakin dihormati oleh masyarakat adalah kerana dasar serta kepimpinan di dalam pemerintahan tertinggi pasukan itu. Mungkin salah satu sebab mengapa PDRM tidak mencapai tahap seperti ATM adalah kerana PDRM sering berada di tengah-tengah masyarakat, justeru itu segala kesilapan atau tingkah lakunya terlalu mudah untuk dilihat oleh orang ramai. Ataukah kerana PDRM terlalu digunakan untuk tujuan lain selain dari tugas dan tanggungjawabnya yang sebenar ? Jika ianya benar, amat malang sekali kerana bukan sedikit jasa dan pengorbanan segelintir warga PDRM yang ikhlas berkhidmat demi keselamatan rakyat dan negara, tetapi oleh kerana perkara-perkara di luar bidang mereka menjadikan seolah-olah kerjaya mereka tidak dihargai.

ATM khususnya lebih dilihat menumpukan kepada tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar di samping giat mencurahkan khidmat bakti sehingga melewati ke negara luar seperti Bosnia, Lubnan, Somalia dan beberapa negara lain yang dilanda kekacauan. Khidmat kepada masyarakat tempatan juga sering diadakan oleh warga ATM di kampung-kampung seperti khidmat gotong-royong, operasi banjir dan yang terkini baru-baru ini adalah sebagai tenaga sukarela di dalam membantu mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Tidak dinafikan PDRM juga terlibat sedikit sebanyak di dalam khidmat sosial seperti ini, tetapi mengapa ianya tidak begitu menyerlah seperti ATM ? Mengapa perkara lain yang lebih menyerlah dan memberikan gambaran negatif terhadap PDRM? Masalah ini harus difikirkan oleh pihak yang berkenaan agar imej PDRM yang dahulunya sama tinggi dan sama rendah dengan ATM khususnya di era sebelum dan semasa negara kita mencapai kemerdekaan.

Adalah menjadi hasrat kita semua agar kedua-dua pasukan keselamatan ini akan terus disegani oleh negara luar dan dihormati serta disanjungi oleh rakyat di negara kita. PDRM dan ATM adalah tunggak keselamatan negara dan kedua-dua pasukan ini harus berganding bahu menentukan keselamatan rakyat dan negara. Apabila menyebut tentang rakyat dan negara, ketepikan semua pandangan dan kepentingan kepartian mana-mana pihak agar PDRM dan ATM tidak diheret di dalam kancah dan kekotoran mainan politik pihak tertentu. Semoga PDRM dan ATM terus bersaing untuk menunjukkan khidmat baktinya kepada rakyat jelata dan negara tercinta ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih..

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

W.FAUZDIN NS

No comments

Powered by Blogger.