pakatan semakin kukuh

(Hrkh)-Ucapan pertama yang keluar dari mulut Penasihat Parti KeADILan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah bersyukur serta melahirkan rasa kelegaan apabila PAS berjaya memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu. Iklan



"Alhamdulillah, lega rasanya. Kemenangan PAS di Kuala Terengganu ini kesannya cukup besar dan menggemparkan seluruh Negara dan ianya dirasai oleh rakan-rakan kita di seluruh rantau Asia ini.

"Saya dapat banyak panggilan, mesej, sms, email oleh ribuan rakan-rakan kita di Afrika, Asia, Arab, India dan Pakistan kagum dengan keputusan rakyat di Terengganu, sebab kita membawa mesej perubahan," ujarnya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena Kemenangan Pilihan Raya Kecil, di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Meski pun, katanya calon PAS yang bertanding di Kuala Terengganu tetapi mendapat sokongan yang kuat dari rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti KeADILan dan DAP.

Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) melakukan pelbagai usaha termasuk media massa bagi memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Katanya, pelbagai isu dicetuskan tetapi tidak berjaya dan 'pertarungan' di Kuala Terengganu cukup sengit antara rakyat bawahan dengan pemimpin atasan.

"Apa yang paling ditakuti oleh Najib (Timbalan Perdana Menteri) ialah apabila PAS mendapat sokongan dan dokongan yang padu dari semua kaum dalam negara ini.

"Sebab itu, strategi mereka (BN) yang utama ialah pecahkan Pakatan Rakyat antara satu sama lain. Pelbagai cara yang dilakukan melalui radio, tv dan akhbar milik mereka (BN) supaya kita berpecah dalam pakatan ini," tegasnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan ahli parti serta rakyat di negara ini agar tidak mengambil mudah perkembangan tersebut yang akan menyaksikan pertarungan lebih sengit.

"Kita (Pakatan Rakyat) jangan ambil mudah. Saya jangkakan tindakan akan lebih keras dan kejam lagi di masa akan datang. Kekangan dan tekanan terhadap kita akan lebih hebat lagi,"ujarnya.

Menurutnya, dengan kemenangan pilihan raya kecil Kuala Terengganu tersebut Pakatan Rakyat yang diterajui PAS, KeADILan dan DAP berjaya melepasi satu ujian besar selepas Permatang Pauh.

Katanya, kemenangan Pakatan Rakyat juga membuka mata banyak pihak termasuk 'rakan-rakan' (BN) dari Sabah dan Sarawak.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dan Penasihat Parti DAP, Lim Kit Siang.

No comments

Powered by Blogger.