Kerana Gaza, Erdogan berang di Davos: Peres terdiam, Amru Musa bertepuk gembira

Sumber: Islamonline
Penterjemah: muhajir

30 Jan 2009 - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bangun meninggalkan sidang ekonomi dunia di Switzerland dalam keadaan berang sebagai bantahan kerana tidak diberi masa yang mencukupi bagi menjawab kenyataan yang dibuat oleh Simon Peres, Presiden Israel, yang berucap panjang dan memberikan pelbagai alasan terhadap penyembelihan dilakukan tentera Israel di Gaza.

Dalam sidang mengenai Gaza di forum Davos petang Khamis lalu, Peres bercakap selama 25 minit mengatakan HAMAS lah sebenarnya yang mendorong Israel ke kancah peperangan, kerana ia melancarkan roketnya ke kawasan penempatan Israel. Ketika bercakap, Peres menggunakan nada yang keras dan memandang tepat ke arah Erdogan dari masa ke semasa.

Tiba gilirannya, Erdogan membuat komentar dengan berkata, “Peres lebih berusia daripada saya, namun dia menggunakan perkataan yang keras.” Seterusnya beliau menyambung dan menujukan kata-katanya kepada Peres dengan tegas, “Saya masih teringat kepada kanak-kanak yang terbunuh di tepi pantai, saya masih teringat betapa ramai yang telah anda bunuh di Gaza.” Ketika itu, Peres menyampuk, “mereka juga akan melakukan apa yang kami lakukan jika roket-roket tersebut jatuh di Istanbul.”

Erdogan dengan muka yang merah kerana marah juga menujukan kritikan pedas kepada sebahagian hadirin yang bertepuk tangan terhadap ucapan Peres, “adalah suatu yang amat mengaibkan kamu bertepuk tangan terhadap serangan yang membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza.”

Baru lebih kurang 10 minit Erdogan berucap, pengerusi majlis memaklumkan waktunya sudah habis. Dalam keadaan marah Erdogan segera beredar sambil memungut failnya seraya berkata, “terima kasih kerana anda tidak memberi peluang untuk saya bercakap.. Saya hanya bercakap separuh daripada masa yang digunakan oleh Peres.. Saya tidak akan datang lagi ke Davos.”

Ketika Erdogan bangun untuk meninggalkan dewan, Peres kelihatan tergamam berpaling ke kiri dan ke kanan tanpa mengeluarkan sepatah perkataan.

Setiausaha Agung Liga Negara Arab, Amru Musa berdiri dan bertepuk tangan dengan gembira kemudian berjabat tangan dengan Erdogan yang meninggalkan dewan di tengah-tengah tepukan daripada beberapa orang hadirin.

Setelah Erdogan meninggalkan dewan, Amru Musa kelihatan berpaling ke kanan dan ke kiri , lalu Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu memintanya duduk lalu beliau kembali mengambil tempat.

Erdogan berkata dalam sidang akhbar yang diadakan selepas forum tersebut, “Peres berucap selama 25 minit, dalam nada keras dan memandang tepat kepada saya dengan cara yang tidak sesuai dengan kebebasan awam.”

Beliau menambah, “apabila saya berucap, tiada pihak yang memberikan saya peluang untuk mengungkapkan pandangan saya, maka adalah suatu yang tepat saya mengambil tindakan meninggalkan forum tersebut.”

Permohonan maaf Israel

Saluran kedua TV Turki melaporkan Peres memohon maaf daripada Erdogan terhadap apa yang berlaku melalui panggilan telefon, tanpa memberikan penghuraian panggilan tersebut. Agensi berita Anatolia juga mengesahkan berita tentang permohonan maaf tersebut. Ia melaporkan daripada sumber-sumber yang hampir dengan Erdogan bahawa Peres menghubungi Perdana Menteri Turki itu selama 5 minit.

Ketika membuat komentar tentang kejadian tersebut, ketua Persatuan Penentang Zionis di Amman, Layth Shubeilat memuji tindakan Erdogan dengan berkata, “pendirian beliau menampilkan kemajuan dari sudut mengambil pendirian yang membebaskan diri daripada warisan sekular Turki.”

Rabu lalu, Erdogan mengutuk pencerobohan Israel terhadap Gaza dan beliau tidak bersetuju langkah mengkategorikan HAMAS sebagai salah sebuah pertubuhan pengganas. Dalam masa yang sama, beliau menyeru Presiden Amerika yang baru, Barrack Obama supaya mengkaji semula definisi pertubuhan-pertubuhan pengganas yang terdapat di Timur Tengah.

Dalam perkembangan berkaitan, Layth Syubeilat mengkritik kehadiran Setiausaha Agung Liga negara Arab ke forum tersebut bersama-sama dengan Perdana Menteri Israel.

Beliau berkata, “Bagaimana bangsa Arab boleh membenarkan Amru Musa duduk bersama dengan pemimpin Israel.” Beliau juga menambah duduknya Amru Musa setelah Erdogan meninggalkan dewan menyebabkan situasi menjadi bertambah rumit. Beliau juga memberikan komentar dengan berkata bahawa para pemimpin Arab tidak tahu apa yang mereka lakukan.”

Penterjemah: muhajir
http://muhajir09.blogspot.com/2009/01/kerana-gaza-erdogan-berang-di-davos.html

No comments

Powered by Blogger.