Islam Liberal cuba dipromosi di Malaysiakini?
Kedua-dua soalan ini menunjukan betapa ramai yang terkeliru dengan maksud perkataan ‘liberal’.
Tidak mudah untuk menghurai kekeliruan mengenai fahaman liberalisme. Namun, dalam artikel pendek ini, saya akan cuba menjelaskan erti liberalisme yang saya fahami dan kenapa saya tidak nampak percanggahan antara akidah Islam dan juga fahaman liberal.
Sebelum itu, saya perlu membuat satu penjelasan yang penting. Perkataan ‘liberal’ kerapkali disalahgunakan hinggakan penggunaannya kadangkala lari daripada maksud sebenarnya.
Di Amerika Syarikat, perkataan liberal telah dicuri oleh mereka yang menyokong campur tangan kerajaan dalam hal-ehwal peribadi rakyat (contohnya Parti Demokrat).
Di Malaysia pula, jika disebut sahaja perkataan ‘liberal’, maka biasanya yang datang dalam fikiran ialah ‘Islam liberal’.
Saya tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok ini. Saya seorang yang berpegang dengan falsafah liberalisme klasik, atau di Amerika, biasanya ia dipanggil falsafah libertarianisme.
Untuk mengelak lebih banyak salah faham, maka saya akan menggunakan perkataan libertarian dalam artikel ini.
Kedaulatan undang-undang
Liberalisme klasik atau libertarianisme bukan satu falsafah baru. Prinsip asas libertarianisme ialah keyakinan terhadap adanya satu “peraturan tertinggi” dan prinsip ini boleh dikesan dalam falsafah lama Yahudi dan Greek purba.
Prinsip ini bermaksud semua manusia, daripada pemerintah kepada yang diperintah, tertakluk kepada sebuah peraturan yang sama.
Kedatangan Islam pula telah mengukuhkan keyakinan terhadap prinsip “peraturan tertinggi” yang diteroka sejak sebelum zaman Nabi Musa lagi.
Malahan Islam dengan jelas mengajar bahawa mereka yang berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk memaksa rakyat mengikut telunjuk mereka. Pemerintah juga tertakluk kepada undang-undang.
Libertarianisme tidak menyeru kepada pemansuhan atau pengabaian terhadap peraturan dan undang-undang. Sebaliknya, libertarianisme adalah satu panggilan agar semua manusia mematuhi undang-undang yang sama tanpa pengecualian kerana wujudnya kedaulatan undang-undang.
Konsep ini adalah perlindungan terbaik daripada kediktatoran dan totalitarianisme. Jika tidak wujud kedaulatan undang-undang, maka yang berdaulat adalah manusia.
Perampasan kedaulatan undang-undang oleh segelintir manusia yang memerintah akan membolehkan mereka memaksa rakyat hidup mengikut telunjuk mereka.
Sekiranya prinsip asas libertarianisme ini tidak dihiraukan, maka akan wujudlah totalitarianisme seperti di negara-negara komunis dan fasis yang pastinya tidak Islamik.
Kerajaan terhad
Pemerintah mempunyai kuasa untuk memaksa masyarakat bawahan tunduk kepada mereka dengan menggunakan akta-akta parlimen, peraturan, undang-undang, tentera, polis dan sebagainya.
No comments
Post a Comment