Pelan AirAsia bina LCCT ditolak


KUALA LUMPUR: Cadangan AirAsia Bhd. untuk membina sebuah lapangan terbang berharga RM1.6 bilion di Labu, Negeri Sembilan ditolak oleh kerajaan, tetapi syarikat penerbangan tambang murah itu dikatakan memperoleh beberapa konsesi.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan diberi tanggungjawab membina sebuah terminal syarikat penerbangan kos rendah (LCCT) baru, berdekatan terminal sekarang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kata satu sumber yang mempunyai maklumat mengenai hasil mesyuarat itu semalam.

Keputusan untuk membatalkan projek itu disampaikan kepada AirAsia pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dihadiri para pegawai Kementerian Kewangan, MAHb, dan AirAsia.

Sumber itu menyatakan AirAsia berjaya mendapat jaminan mengenai caj dan cukai lapangan terbang yang lebih rendah, yang ia akan berunding dengan MAHB, dan juga akan dibenarkan memberi input mengenai spesifikasi bagi LCCT baru itu.

Katanya, syarikat penerbangan tambang murah itu diberikan masa untuk mengemukakan senarai keperluannya mengenai LCCT baru itu.

Caj itu boleh diturunkan sehingga separuh, kata sumber itu.

AirAsia sentiasa mengadu tentang caj di LCCT sekarang kerana ia berpendapat bahawa dengan penyediaan kurang kemudahan, caj dan cukai lapangan terbang itu sepatutnya lebih rendah daripada yang dikenakan di KLIA.

Pada mesyuarat itu, AirAsia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tony Fernandes.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Tony berkata, AirAsia menganggap hasil mesyuarat itu sebagai amat positif dan kini ia menunggu butiran lengkapnya.

Katanya, AirAsia komited bagi menyediakan tetamunya perkhidmatan berkelas dunia, lima bintang, melalui sebuah LCCT dibina bertujuan khas.

Menurutnya, AirAsia turut komited menjadikan Kuala Lumpur sebuah hab serantau bagi syarikat penerbangan tambang murah dan menyumbang dengan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Di segi kewangan, ini merupakan berita baik bagi Airasia, katanya.

AirAsia yang kini telah mempunyai gearan yang tinggi, tidak perlu lagi mendapatkan pembiayaan untuk membina LCCT baru itu, katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.