Pemerintahan Gemilang Sultan Azlan Shah Di Perak
Siri Rencana Sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Perak
Oleh Roshidi Abu Samah
IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang merayakan Jubli Perak pemerintahan baginda pada 3 Feb ini dikenali sebagai seorang Raja yang bijaksana, penuh belas kasihan dan rendah hati.
Dengan sifat dan keperibadian itu, baginda muncul sebagai Raja yang disegani dalam sejarah diraja Malaysia sejak menaiki takhta pada 3 Feb 1984 berikutan kemangkatan Sultan Idris Almutawakkil Alallahi Shah II.
Sebelum baginda menjadi Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 lagi, baginda sudah terkenal dan dihormati ramai apabila memegang jawatan Ketua Hakim Negara.
Bagi teman dan kenalan lama baginda, tidak hairanlah apabila baginda menjadi ketua negeri ini, rakyat menikmati pelbagai pembangunan dan kemajuan yang tidak sedikit.
KETUA NEGERI YANG DISENANGI RAKYAT
Antara kenalan baginda dari bangku sekolah lagi ialah Datuk Seri N. S. Selvamany, 83, yang berpendapat rakyat Perak sangat bernasib baik kerana dianugerah pemerintah seperti Sultan Azlan Shah.
"Pemerintahan baginda selama 25 tahun merupakan tempoh yang penuh dengan peristiwa bermakna. Dalam setiap keputusan yang diambil, kebijaksanaan baginda begitu jelas dan juga belas kasihan yang ditunjukkannya. Hati baginda sentiasa dengan rakyat, baginda merupakan 'sultan rakyat' dan saya berdoa supaya baginda akan terus memerintah untuk tempoh yang lama...", katanya.
Selvamany berkata sebagai Sultan Perak, baginda meneruskan mandat silam yang berasal daripada barisan Sultan yang termasyhur, bukan sahaja setakat kesultanan Melaka malah sehingga 'Iskandar Zulkarnain Yang Teragung'.
"Sultan Azlan Shah sedar akan tanggungjawabnya yang berat. Tuhan Yang Maha Esa telah menentukan satu laluan hidup luar biasa bagi baginda yang mempersiap baginda untuk peranan ini. Dan Tuan yang Maha Esa juga menganugerahkan baginda dengan Raja Permaisuri yang sentiasa berada di sisinya selain Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah yang bijaksana dan bertanggungjawab," katanya.
Mengenang semula zaman persekolahan mereka, Selvamany, yang merupakan rakan sedarjah kepada kekanda Sultan Azlan Shah, Raja Datuk Seri Baharum Shah, berkata Sultan Azlan Shah merupakan seorang pelajar yang pintar.
"Baginda tampan orangnya seperti pada hari ini dan anda boleh bayangkan betapa popularnya baginda kalau di sekolah yang muridnya terdiri daripada lelaki dan perempuan," kata pemenang Tokoh Guru 1997 ini.
AHLI SUKAN
Sultan Azlan Shah, Raja Baharom yang lebih dikenali sebagai Raja Lope pada masa itu dan Selvamany, belajar bersama-sama di Sekolah Inggeris kerajaan di Batu Gajah, yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah.
Selvamany masih ingat bahawa Sultan Azlan Shah merupakan ahli sukan yang bermain hoki, bola sepak dan kriket mewakili sekolah dan tidak kurang hebat dalam olahraga.
"Baginda bermain di barisan tengah bagi pasukan hoki sekolah yang saya juga merupakan anggota dan saya masih ingat, dengan penuh bangga, gol cantik yang beliau jaringkan untuk ACS Ipoh yang membolehkan Sekolah Inggeris Kerajaan itu muncul juara".
Selvamany berpendapat minat Sultan Azlan Shah terhadap hoki yang membawa baginda mewakili negeri Perak dari lewat 1946 hingga lewat 1949.
"Beliau sebenarnya 'raja' dalam sukan hoki di Perak," katanya.
Sumbangan Sultan Azlan Shah terhadap sukan hoki berterusan di luar padang apabila baginda memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia sehingga 2005 dan sehingga hari ini baginda kekal sebagai anggota Persekutuan Hoki Antarabangsa mewakili Asia.
Dan kejohanan tahunan Piala Sultan Azlan Shah membuktikan lagi komitmen baginda terhadap sukan ini.
RAJA YANG RENDAH HATI
Satu lagi perkara yang menarik mengenai Sultan Azlan Shah ialah baginda tidak melupakan guru-gurunya.
"Baginda sentiasa meluangkan masa untuk bertemu dengan mereka tetapi kini tiada siapa lagi yang tinggal.
"Baginda merupakan Sultan yang rendah hati. Baginda sentiasa memikirkan tentang mereka yang miskin dan bagaimana sukar kehidupan mereka," jelas Selvamany yang bekas anak muridnya termasuk pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini serta bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali.
Seorang lagi anak negeri Perak Senator Tan Sri G. Darshan Singh yang mengenali Sultan Azlan Shah dari dekat berkata: "Baginda satu-satunya pemerintah yang diidamkan oleh setiap rakyat. Anda tidak boleh mengharapkan yang lebih baik daripada baginda. Bagindalah yang terbaik," katanya. seterusnya......
No comments
Post a Comment