Polis Teruskan Siasatan Kes Kematian Tahanan


KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Polis akan tetap menyiasat punca kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan itu akan diteruskan kerana terdapat dakwaan bahawa kematian tahanan A. Kugan, 22, pada 20 Jan lalu berunsur penderaan semasa di lokap.

"Laporan bedah siasat yang didapati malam tadi menunjukkan tubuh mangsa mengalami kecederaan. Kita akan menyiasat punca kecederaan itu walaupun doktor mengesahkan ia (kecederaan itu) bukan punca yang menyebabkan mangsa mati," katanya pada sidang media Perasmian Kempen Keselamatan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, Khamis.

Khalid berkata polis tidak akan melindungi sesiapa saja termasuk pegawai sekiranya benar ada anggotanya yang terlibat mendera Kugan.

"Saya harap keluarga mangsa mahupun orang ramai bersabar terhadap proses siasatan ini kerana saya beri jaminan seratus peratus bahawa kami (polis) akan menyiasatnya secara telus dan adil," katanya.

"Kita dapat maklumat bahawa seorang timbalan menteri berada semasa mayat dituntut di Hospital Serdang dan terdapat kekecohan di situ. Saya sudah arahkan pegawai supaya percakapannya (timbalan menteri itu) dirakam," katanya.

Katanya, polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kekecohan dengan menyerbu rumah mayat, seperti yang berlaku semalam.

Kugan yang ditahan reman sejak Khamis lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sepatutnya tamat semalam.

Mangsa ditahan di hadapan sebuah kondominium di Puchong pada pukul 1 pagi dan dilaporkan bergelut dengan polis sebelum ditahan.

Maklumat polis menunjukkan mangsa adalah anggota kumpulan yang terlibat dalam kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Hasil intipan di kondominium itu, polis berjaya menahan mangsa yang ketika itu sedang memandu kereta Honda bersama seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an. Bagaimanapun rakannya itu dapat melarikan diri.

Hasil tangkapan itu, polis berjaya mengesan 15 buah kereta mewah, dua daripadanya ditemui di kondomium berkenaan manakala 13 buah lagi di sebuah gudang di Puchong.

Sementara itu, dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany dan Senator T. Murugiah, hari ini berkata mereka bersedia untuk polis mengambil kenyataan mereka.

Devamany dan Murugiah berada di rumah mayat Hospital Serdang semalam apabila sebilangan orang mencetuskan kekecohan di mana mayat mangsa disimpan.

Devamany, yang juga bendahari MIC, memberitahu Bernama bahawa polis Sepang telah menghubunginya mengenai kenyataannya.

"Saya menerima panggilan dari seorang yang memaklumkan mengenai kes ini dan mengharapkan kehadiran saya di situ di mana bedah siasat dilakukan. Ia bukan sahaja untuk mendapatkan kebenaran bagi keluarga mangsa tetapi juga meredakan keadaan dan memastikan situasi di sana terkawal," katanya.

Murugiah pula berkata beliau pergi ke hospital itu selepas menerima beberapa panggilan dari media berhubung kekecohan di sana dan beliau bersama Devamany berjaya meredakan keadaan.

"Tugas saya yang bertanggungjawab kepada Biro Pengaduan Awam adalah untuk memeriksa aduan dari orang awam. Adakah salah untuk menangani aduan orang awam?," katanya.

Murugiah juga berkata beliau telah memberi taklimat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok berhubung kematian suspek itu dan menteri berkenaan bersetuju membangkitkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.