guruh dari sabah mula berbunyi...BN kelam kabut

SANDAKAN, 23 Jan (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), kedua-duanya komponen Barisan Nasional, diminta menghentikan perbalahan mereka mengenai satu kerusi Parlimen kerana ia boleh menjejaskan semangat berpasukan dalam BN Sabah.

Datuk Liew Vui Keong, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), sebuah lagi komponen BN dari Sabah, berkata pertikaian antara Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan adalah sesuatu yang tidak sihat dan perlu dicegah daripada berpanjangan.

"Ia perlu dihentikan dan diselesaikan dalam semangat BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pemimpin masyarakat di sini hari ini ketika diminta mengulas pertikaian itu yang bermula berikutan kenyataan Pairin bahawa pemilihan calon BN bagi kerusi Pensiangan, jika berlaku satu pilihan raya kecil nanti, tidak seharusnya dibuat secara automatik, dan ini tidak disenangi oleh Kurup.

Kurup memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas tetapi Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 8 Sept tahun yang sama, mengisytiharkan kemenangan Kurup adalah batal dan tidak sah.

Kurup, yang telah membuat rayuan berhubung kes itu, mencabar Pairin untuk berdebat mengenai isu itu.

Liew ada baiknya kedua-dua pemimpin itu hanya menunggu keputusan mahkamah mengenai rayuan itu.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.