buat pemimpin pas..pkr..dap..

Ketuk Kepalanya, Dia Pasti Bangun

Satu kecenderungan baru dilihat berlaku di dalam Umno sekarang iaitu budaya mengkritik. Yakni, orang Umno mengkritik Umno atau pemimpin Umno. Kalau budaya ini terus subur tidak mustahil Umno akan mampu memperbaiki dirinya dan akan kembali sebagai wadah yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk terus menerajui negara. Biasanya orang yang mengelamun akan bingkas bangun dan bertindak apabila kepalanya diketuk dengan keras.


Apa yang menarik lagi ialah, kritikan terhadap Umno atau pemimpinnya disiarkan pula oleh media arus perdana, apatah lagi kritikan di dalam blog. Adakah media arus perdana yang pro Umno tidak tahu bahawa menyiarkan kritikan itu akan mendedahkan keburukan Umno kepada umum? Saya percaya mereka menyedarinya, tetapi mengapa mereka tetap menyiarkannya?

Diyakini Umno pasti melakukan bukan sahaja sesuatu tetapi banyak perkara untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap parti itu. Kuala Terengganu tentu banyak mengajar mereka.

Namun satu persoalan timbul, adakah budaya yang sama wujud di dalam PAS? Ada beberapa sudut pandang dalam isu ini. Satu, adakah orang PAS samada ahli atau penyokongnya bersedia mengkritik PAS dan pemimpinnya? Kedua, adakah ahli atau penyokong PAS berani mengkritik PAS dan pemimpinnya? Ketiga, adakah pemimpin menyediakan ruang yang mencukupi untuk parti dan pemimpinnya dikritik? Keempat, adakah pemimpin PAS sanggup menadah telinga mendengar kritikan itu?, dan kelima, adakah kritikan itu jika didengari akan dihargai dan diberikan perhatian sewajarnya?

Mengapa persoalan di atas ditimbulkan? Anda baca soalan A Kadir Jasin di dalam blognya berkaitan PAS, iaitu:


Sekiranya Umno terkubur, adakah Pas mampu mengambil alih dan mengisi kekosongan yang ditinggalkannya itu?;
Ramai ahli dan penyokong Umno mungkin berpindah kepada Pas. Tetapi adakah mampu Pas mempertahan dan mengekalkan sifat, ciri dan tradisinya dengan kemasukan besar-besaran bekas ahli dan penyokong Umno?;
Adakah Pas akan terus menjadi parti yang padu, tidak mementingkan diri dan mesra rakyat apabila ia menjadi terlalu besar dan pelbagai dengan kemasukan bekas ahli dan penyokong Umno?;


Soalan di atas adalah soalan besar. Jawapannya tidak boleh bersifat angan-angan dan andaian-andaian. Mungkin ada orang PAS akan menjawab dengan selamba dan dan mudah, “PAS boleh punyalah, kalau tak percaya berilah kepada PAS sekali. Apa, ingat PAS tidak mampu ke?” Bagi saya jawapan itu tidak objektif, lebih kepada menyedapkan hati sendiri.

Semua orang yakin bahawa dimana-mana pun pada masa ini tiada lagi orang ‘maksum’. Para sahabat nabi bertungkus-lumus malah sanggup bergadai nyawa untuk mendengar dan taat semua perkataan nabi tanpa membantahnya kerana nabi adalah maksum. Pandangan dan perkataan nabi adalah yang terbaik dan dibimbing oleh wahyu.

Tapi para pemimpin selepas itu tidak maksum. Bagaimana untuk mencari yang terbaik? Caranya ialah meluaskan dan memudahkan ruang mengeluarkan pendapat dan mengkritik. Otak ramai lebih baik daripada otak seorang. Mengkritik bukan menentang, berhujah bukan melawan, menegur bukan membenci, tetapi untuk mencari yang terbaik.

Mengkritik bukan mudah. Kadang-kadang memang ada perkara yang ingin dikritik tetapi disebabkan budaya kritik tidak subur maka orang yang mengkritik akan menjadi mangsa. Dipandang serong oleh orang lain bahkan disisihkan. Oleh itu, ahli dan penyokong pula perlu dilatih dan dibiasakan supaya berani mengeluarkan pendapat dan mengkritik. Mereka juga perlu dilatih supaya memandang krtitikan dan orang yang mengkritik dengan pandangan yang sihat, bukan pandangan curiga dan serong.

Mentaqdiskan (menganggap suci) seseorang pemimpin adalah di luar ajaran agama. Gejala ini akan merosakkan sekiranya dibiarkan. Memang, pemimpin PAS tidak pernah mengajar supaya mereka ditaqdiskan, tetapi apa yang berlaku ialah ada pemimpin yang tidak suka, tidak mahu, tidak menyediakan ruang, tidak mewujudkan suasana yang kondusif untuk pengkritik. Bukankah itu juga adalah bentuk taqdis yang tidak dibenarkan?

Umno menerima nasib seperti hari ini antaranya ialah kerana tidak suburnya budaya mengkritik ini. Mereka diikat dengan seribu satu kod etika. Terlalu banyak ‘don’ts’.

PAS tidak akan menjadi seperti Umno dengan syarat jangan buat macam Umno. Ada orang PAS akan marah bila PAS dikritik, terbuka pula. Kalau anda termasuk orang sebegitu, andalah orang yang menyumbang kepada 'PAS akan jadi macam Umno'. Tak percaya, buatlah...

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.