BETUL, MANSUHKAN PUTERI & WANITA UMNO


Tertakluk kepada pindaan terakhir, saya dijadualkan diwawancara melalui telefon secara "live" oleh Astro Awani (channel 501) untuk siaran berita jam 11.00 malam ini, 28 Januari 2009. Saya akan mengulas mengenai cadangan Tengku Ahmad Rithauddeen. Selamat menonton.

* * * * *

Malaysiakini melaporkan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mencadangkan UMNO memansuhkan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita. Menurut Malaysiakini lagi alasannya ialah untuk membanteras politik wang. Kata Tengku Ahmad Rithauddeen, Parti Konservatif dan Parti Buruh di England pun tak ada sayap wanita, lapor Malaysiakini selanjutnya. Klik di sini untuk membaca laporan Malaysiakini.

Saya tahu ramai Puteri dan Wanita yang marah dengan kenyataan Tengku Ahmad Rithauddeen itu. Bagaimanapun, saya fikir kenyataan beliau ada meritnya. Saya tak yakin politik wang boleh dihapuskan dengan memansuhkan Puteri dan Wanita, tetapi cadangan Tengku Ahmad Rithauddeen wajar diberikan pertimbangan.

Adalah menjadi rahsia terbuka bahawa Puteri dan Wanita tidak bekerja sebagai satu pasukan sejak mula ia ditubuhkan. Malah, usaha meletakkan Ketua Puteri UMNO Malaysia setaraf Naib Presiden UMNO juga pernah ditentang oleh Ketua Wanita UMNO. Keahlian dari Puteri kepada Wanita UMNO juga bukanlah otomatik, walaupun mereka sama gender. Pada satu tahap, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz pernah mempersoalkan status keahlian Wanita UMNO Dato' Seri Azalina Othman Said yang ketika itu menjadi Ketua Puteri UMNO.

Sewaktu kempen untuk Majlis Tertinggi, bisik-bisik kedai kopi ialah "Wanita mesti mengundi calon wanita." Saya setuju untuk nak tambahkan bilangan wanita dalam badan pembuat keputusan tertinggi UMNO. Saya fikir Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail pun setuju untuk ramaikan wanita dalam Majlis Tertinggi UMNO. Kalau tanya Teresa Kok, saya percaya dia juga menyambut baik.

Bagaimanapun, cuba kita tanya mereka lagi, "Wanita apa?" Jawapan yang akan kita perolehi ialah "Wanita UMNO". Kata kelompok ini, "Undi calon Wanita Wanita untuk Majlis Tertinggi." Habis tu, bagaimana dengan Puteri UMNO? Aha, Puteri UMNO bukan Wanita UMNO. "Wanita" bagi kelompok Wanita UMNO ini ialah afiliasi politik, bukan gender.

Di sesetengah negeri (tak perlulah saya sebutkan negeri mana), hubungan antara Wanita UMNO dan Puteri UMNO macam anjing dan kucing. Pantang jumpa, nak cari salah satu sama lain. Sekumpulan "wanita" bercakap mengenai K10, sekumpulan lagi "wanita" bercakap mengenai IT. Apabila BN kalah pilihanraya, mulalah menuding jari kepada satu sama lain. Rumah siap, pahat berbunyi.

Saya boleh sebutkan beberapa lagi kes secara spesifik betapa Wanita dan Puteri UMNO tidak bekerja sebagai satu pasukan. Ini -- secara langsung atau tak langsung -- melemahkan parti. Kalau kewujudan Wanita dan Puteri UMNO melemahkan parti, maka saya setuju dengan cadangan Tengku Ahmad Rithauddeen untuk UMNO mansuhkan saja kedua-dua sayap itu.

Alang-alang mansuhkan Wanita dan Puteri, mansuhkanlah sekali Pemuda. Ini seperti orang beristeri tiga. Biar sama rata.

Habis tu bagaimana nak dapatkan representasi wanita, puteri dan pemuda dalam badan membuat keputusan UMNO? Tak susah, wujudkan enam jawatan Naib Presiden UMNO. Buat kuota. Satu untuk gender wanita tanpa batasan umur, satu untuk wanita bawah 35 tahun (puteri), satu untuk pemuda bawah 40 tahun dan satu untuk wakil Sabah. Kalau pakai formula ni, sah Dato' Seri Shafie Afdhal menang tak bertanding.

Dua lagi? Dua lagi kerusi Naib Presiden UMNO buka kepada sesiapa saja. Biar Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Isa Samad, Dato' Seri Khalid Nordin, Tan Sri Rahim Tamby Chik, dan Dato' Seri Syed Hamid Albar berebut dua kerusi tu.

Seperti yang saya katakan awal-awal tadi, alang-alang nak buat perubahan, tambah kerusi Timbalan Presiden UMNO menjadi dua. Alasannya? Supaya jawatan Presiden UMNO bukanlah jawatan yang diwarisi. Kalau kedua-dua Timbalan Presiden UMNO berminat nak jadi Presiden UMNO apabila Presiden sedia ada undur diri, maka bertandinglah.

Pertandingan adalah perkara biasa dalam mana-mana sistem demokrasi. Kesilapan paling besar dengan UMNO ialah hendak mengelakkan pertandingan dalam parti. Atas alasan itulah maka saya tak setuju dengan cadangan UMNO Bahagian Besut yang meminta Timbalan Presiden UMNO berkompromi.

Pertandingan jawatan apa sekali pun dalam parti tak ada masalah. Yang menjadi masalah ialah pertandingan dalam UMNO tidak diuruskan dengan baik. Calon yang layak disekat naik ke atas melalui larangan berkempen.

Sepatutnya UMNO menggalakkan calon-calon bertanding dengan kaedah-kaedah yang betul. Saya amat ingin melihat semua calon-calon pemilihan UMNO -- tak kisahlah dia bertanding pada peringkat bahagian atau nasional -- bersaing membawa idea-idea yang bernas. Bagaimana nak kemukakan idea? Buat buku. Buat majalah. Buat website. Buat blog. Interaksi dengan perwakilan melalui Facebook, Youtube atau Myspace. Anjurkan forum. Berikan peluang kepada mereka untuk mengemukakan gagasan dan biarkan rakyat menilai. Dengan cara itu barulah UMNO dapat mencari pemimpin yang terbaik.

UMNO juga menyekat calon-calon untuk berjumpa perwakilan. Kalau perwakilan tak dapat jumpa calon, bagaimana mereka nak kenal dan mengundi seseorang calon. Takkanlah nak lambung buah dadu saja untuk pilih pemimpin? Saya difahamkan ada sekitar 70 orang calon ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Kalau setiap kali perwakilan dari Sik, Setiu atau Mersing datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa calon, dia perlu berbelanja tidak kurang dari RM400 -- duit minyak, tol dan makan-minum, campur bilik hotel murah di Chow Kit. Sekiranya dia datang ke Kuala Lumpur sebanyak 20 kali untuk berjumpa kesemua calon-calon itu seorang demi seorang, dia perlu mengeluarkan wang poket sebanyak RM8,000. Adakah perwakilan UMNO semuanya ada kemampuan kewangan begitu?

Calon ahli Majlis Tertinggi dah tak berani lagi bagi duit minyak dan tol untuk perwakilan datang ke Kuala Lumpur berjumpa mereka. Mereka takut kena tindakan disiplin dan dicekup oleh SPRM.

Nah, kalau begitulah keadaannya, bagaimanakah calon ahli Majlis Tertinggi dan perwakilan hendak berinteraksi? Nak buat blog tak boleh. Nak edar buku tak boleh. Nak edar VCD tak boleh. Nak hantar mms tak boleh. Nak jumpa pun tak boleh (nak jumpa memang boleh, tapi kalau dah tak ada duit minyak dan tol nak datang dari Setiu, bagaimana nak jumpa?)

Sebab itulah saya katakan bahawa kaedah berkempen UMNO ni tak betul. Itu masalahnya. Pertandingan bukan masalah. Sekiranya pertandingan berjalan dengan baik, UMNO akan mampu mencungkil pemimpin yang baik. Saya percaya ramai profesional dalam UMNO dan mereka ingin menyumbang kepada parti. Namun, peraturan kempen yang ada sekarang menyukarkan mereka untuk naik ke atas.

Akhirnya, yang akan berada dalam Majlis Tertinggi ialah Menteri dan Timbalan Menteri yang "visible" kerana jawatan yang disandang membolehkan wajah mereka masuk tv, dan keluar akhbar. Menteri dan Timbalan Menteri boleh pusing seluruh negara jumpa perwakilan kerana mereka boleh berbuat begitu semasa menjalankan tugas-tugas rasmi. Sebab itulah calon-calon baru yang bukan dari kalangan Menteri, Menteri Besar atau Timbalan Menteri -- walaupun bagus -- susah nak menang jawatan dalam Majlis Tertinggi.

Ada orang kata, kalau seseorang tu layak, tak perlu kempen pun orang akan pilih. Betul ker? BN yang kempen pagi petang pun kalah dalam pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu. Inikan pula calon Majlis Tertinggi. Dalam politik, yang pipis tak datang melayang dan yang bulat tak datang bergolek.

Biar saya katakan bahawa sekiranya UMNO betul-betul nak pilih pemimpin yang baik untuk menyediakan parti itu bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti, rombak sistem pemilihan dan peraturan kempen yang ada. Masanya belum terlambat. Masih ada sekitar 50 hari lagi sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula.

Masih ada masa untuk membuat perubahan. Itu pun kalau UMNO nak berubah!

http://nobisha.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.