MPKB Ikut Konsep Khalifah Umar Al-khattab

KOTA BHARU, 22 Jan (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melancarkan gerak kerja selepas waktu pejabat terutama pada waktu malam bagi meninjau keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan.

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Che Mamat berkata program itu lebih mirip konsep khalifah Umar Al-Khatab, yang membuat pemantauan kehidupan rakyatnya pada waktu malam.

"Program ini kita tumpukan kepada masalah penjagaan kebersihan bandar dengan menggerakkan tenaga kerja bahagian itu termasuk memungut sampah pada waktu malam dengan kerjasama peniaga dan warga bandar ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnnya, pihak beliau sengaja memperkenalkan kaedah itu mulai tahun ini bagi mengelakkan ia menjejaskan urusan rasmi kerajaan jika diadakan pada waktu pejabat.

Beliau berkata menerusi pelancaran gerak kerja itu juga MPKB-BRI mewartakan 12 batang jalan protokol untuk dibersihkan dengan pihaknya tidak lagi menyediakan tong sampah besar awam kerana boleh menjejaskan pemandangan, bau dan kebersihan Bandar.

Antara jalan terbabit ialah Jalan Pasir Puteh, Jalan Kuala Krai, Jalan Long Yunus dan Jalan Pengkalan Chepa.

"Semua tong sampah di jalan-jalan terbabit tidak lagi disediakan kepada awam dan kami menggalakkan penduduk membuang sampah dengan menggunakan beg plastik sampah sendiri dengan diletakkan di tepi jalan sebelum dikutip oleh lori pengangkut sampah MPKB pada waktu malam," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.