PAS rakam Gong Xi Fa Chai, seru lakukan perubahan

(Hrkh) - PAS merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Tiong Hua di seluruh negara yang meraikan hari kebesaran itu pada hari ini.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar dalam perutusannya berharap semua kaum khususnya kaum Cina bekerjasama untuk membawa perubahan besar yang diperlukan dalam landskap politik negara.

Dengan melakukan perubahan katanya, segala isu sejagat yang mencengkam rakyat dan perlukan pembelaan seperti soal pendidikan, ekonomi dan sosial dapat ditangani sebaik mungkin dan tercapai matlamatnya melalui kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat.

"Setiap kali perayaan bagi pelbagai kaum, sentiasa wujud semangat dan iltizam baru untuk berubah dan kita berharap Tahun Baru Cina kali ini, kaum Cina di seluruh negara mempunyai kekuatan untuk melakukan perubahan besar.

"Keberanian dan kekuatan kaum Cina sudah mula ditunjukkan dengan kemenangan Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya 8 Mac lalu, diikuti pula di Permatang Pauh melalui KeADILan dan PAS di Kuala Terengganu maka kita berharap semangat itu berterusan dan ikatan perpaduan dikuatkan lagi," katanya ketika menghubungi Harakahdaily jam 10 malam semalam. Image

Dalam memperkata hal yang sama Kamarudin juga menyeru Kelab Penyokong PAS yang turut dianggotai oleh kaum Cina supaya memberi komitmen dan sentiasa memberi penerangan yang jelas kepada pelbagai kaum tentang perjuangan PAS yang tidak hanya tertumpu kepada satu bangsa semata tetapi berasaskan kepada keadilan Islam kepada semua kaum dalam negara.

"Kelab penyokong telah banyak membantu menerangkan dasar kita yang telah dimanupulasi oleh parti pemerintah yang sering kali melabelkan PAS dengan tohmahan dan menakutkan kaum lain dengan pelbagai isu.

"Sungguhpun diasak oleh parti pemerintah dan media mereka, kerjasama dan hubungan PAS dengan pelbagai kaum khususnya KeADILan dan DAP bertambah erat dan kukuh," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat dan turut merakam ucap selamat yang sama kepada para pemimpin dan ahli kaum cina dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berharap segala bibit prasangka antara kaum yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dapat ditangkis dengan mudah melalui pelbagai siri pertemuan dan perbincangan bagi memastikan setiap pihak yang terlibat mendapat penjelasan sebenar seterusnya menjalani kehidupan yang harmoni dan bersatu padu di antara satu sama lain.

"Tuhan menjadikan manusia pelbagai bangsa untuk saling kenal-mengenal antara satu sama lain di samping belajar menghormati, bukannya untuk bermusuh-musuhan," katanya yang merujuk kepada salah satu tafsiran al-Quran.

No comments

Powered by Blogger.