Ahli Umno Hantu!


Wah, ramainya orang masuk Umno. Tentu Najib yang bakal jadi PM bangga. Abdullah juga tentu senyum kerana berjaya mewariskan Umno yang padat dengan ahli baru kepada Najib. Tengku Adnan tentu berpuashati, pada masa orang bercakap mengenai keluar Umno, 809 orang pula masuk Umno.

Kurang pasti sejak bila dan mengapa pendaftaran keahlian Umno secara online diperkenalkan? Boleh jadi kerana ingin memudahkan khalayak blogger misalnya jadi ahli Umno. Bukankah trend terkini semuanya online? Boleh jadi juga untuk menghibur diri sendiri dan hebahkan kepada umum, Umno sudah berubah. Tak percaya, tengok boleh daftar jadi ahli secara online.

Pemimpin Umno tentu tahu ada orang yang masuk Umno ‘secara borang’-nya saja. Mereka masuk Umno kerana bisnes, kerjaya, takut ditukar, nak dapat projek, nak dapat pinjaman, nak ambil hati wakil rakyat, nak jaga hati bos dan macam-macam lagi. Hatinya tidak bersama Umno dan bila pilihanraya dia undi parti lain.

Banyak kawasan pilihanraya di Malaysia, cawangan parti Pas atau PKR sedikit sahaja berbanding cawangan Umno. Persoalannya, mengapa BN tewas dalam kawasan itu?. Ahlinya ramai, cawangannya banyak, tapi bila bertanding kalah. Tengku Adnan ada jawapannya.

Kalau mengisi borang secara manual dan berbayar pun ada orang boleh ‘main kejip mata’ dengan Umno, inikan pula isi borang secara online. Orang boleh buat email dengan nama palsu, maklumat peribadi palsu, email lulus dan terpakai juga. Anak saya berusia sembilan tahun menulis di dalam laman Friendsternya dia berumur 19 tahun. Saya tanya mengapa tipu? Dia jawab, kalau tulis betul, laman Friensternya tak lulus.

Ada dua soalan saja;

  • 1. Adakah 809 yang mengisi borang keahlian Umno itu benar-benar wujud atau dia pakai hentam saja. Namanya, Cengai Giam misalnya. Alamatnya, Kampong Hantu Raya, Thailand misalnya. Adakah ini juga dimasuk kira oleh Tengku Adnan?
  • 2. Adakah betul borang online itu diisi oleh empunya diri atau orang lain mengisi bagi pihak orang lain. Misalnya, ketua cawangan Umno yang nak tampilkan cawangannya kuat mengisi semua orang di kampongnya sebagai ahli Umno.

Ringkas cakap, kalau duit di dalam akaun bank pun boleh dilesapkan dengan online, inikan pula keahlian parti. Kalau anda tak percaya, anda cuba isi secara main-main borang keahlian Umno secara online di sini dan tengok apa jadi.

Apa pun, saya kira sebelum pendaftaran keahlianUmno secara online dibuat, tentu Tengku Adnan dengan pasukannya telah mengambil kira dua perkara di atas. Harap-harapnya begitulah. Dan 809 yang dikatakan mendaftar itu benar-benar wujud. Mereka bukan hantu seperti pengundi hantu.

Bimbang, isu pengundi hantu belum selesai, timbul pula ‘Ahli Umno Hantu’.

http://bongkarsauh.blogspot.com/


No comments

Powered by Blogger.