SPRM didakwa tekan Madam Low ekoran dakwaan rasuah terhadap MB

SHAH ALAM, 22 Jan: Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa menekan Pemangku Pengurus Besar PKNS, Madam Low Siew Moi membuat pengakuan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan beliau menyumbangkan lembu-lembu untuk dikorbankan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.


Menurut sumber Siasah, Madam Low dipaksa berbuat demikian dalam soalsiasat SPRM yang dibuat hampir empat jam baru-baru ini ekoran laporan oleh Gerak.

Turut disiasat adalah tiga lagi pemimpin kanan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang lain.

Baru-baru ini, Gerak membuat aduan kepada SPRM terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.
Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam aduannya, Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lagi dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit - Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Aduannya diterima oleh Pengerusi SPRM Selangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pada jam 10.45 pagi.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid menolak dakwaan itu dan sedang menimbangkan untuk menyaman Gerak kerana memfitnah beliau.

No comments

Powered by Blogger.