Anak Adun Behrang sahkan bapanya jadi Adun Bebas! - Malaysiakini
BERNAMA hari ini melaporkan perkembangan terkini tentang dakwaan anak Adun Behrang, Jamaluddin Md Radzi, Ali, 25, yang menyifatkan bapanya tidak akan menyertai BN tetapi mungkin mengumumkan akan menjadi wakil rakyat bebas. Ini bermakna desas-desus tentang Jamaluddin akan melompat parti makin tepat sekalipun anaknya menyangkal bapanya itu akan menyertai BN
Ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya, Ali mengesahkan keluarganya tidak dapat menghubungi Jamaluddin sejak Isnin lepas tetapi seorang rakan bapanya menghubungi beliau semalam memaklumkan bapa akan keluar PKR untuk menjadi Adun Bebas.
"Saya tak percaya dia hilang... dia tahu jaga dirinya tetapi emak saya memang tertekan," tambahnya.
Sementara itu, di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta agar dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang "hilang" sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak
Nizar berkata kerajaan negeri telah bersedia untuk membuat persiapan dan strategi mengikut peraturan yang ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Apa yang menjadi masalah, dua exco terbabit tidak dapat dihubungi dan sehingga kini, tiada penjelasan dari mereka tentang pendirian terkini mereka setelah bertiup kencang desas-desus kedua-duanya akan melompat ke BN.
Dua anggota exco dari PKR itu telah ghaib dan mereka tidak dapat dihubungi termasuk oleh keluarga mereka sendiri sejak 26 Januari, kata Nizar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin PAS, DAP dan PKR negeri di kediamannya di sini, hari ini
Mereka yang dikatakan hilang itu adalah Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang) dan Mohd Osman Jailu (ADUN Changkat Jering). Menurut pelbagai laporan laman web berita dan bloggers, kedua-dua Exco Kerajaan Perak ini dikatakan telah dikuaratin di rumah Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Pekan, Pahang
Hal ini dilaporkan oleh Malaysiakini.com dan Pahangdaily.com juga mengesahkan kedudukan tersebut dalam satu laporannya semalam. Sehingga kini SPRM yang dituduh terlibat dalam "kuarantin" belum mengeluarkan sebarang kenyataan malah Najib sendiri tidak menafikan rumahnya dijadikan tempat "kuarantin" Jamaluddin dan Osman, seperti yang diuar-uarkan
Nizar dalam sidang media hari ini berkata kerajaan negeri mungkin akan membuat laporan polis berhubung kehilangan dua anggota Exco itu selepas berbincang dengan keluarga mereka
Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, adalah pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan
Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Feb ini.
Menteri Besar berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak masih kukuh walaupun dalam keadaan sekarang kerana semua Adun yang lain masih bersamanya. Pakatan Rakyat mempunyai 32 Adun termasuk Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN dianggotai 27 Adun dan jika dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi
Ketika mengulas lanjut mengenai perkembangan kehilangan dua Adun PKR itu, Nizar yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Perak berkata usaha menjatuhkan kerajaan negeri dengan melarikan dua Adun berkenaan adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri yang ada
Yang turut hadir pada mesyuarat itu adalah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang, Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman dan Nasaruddin Hasyim.- Tarmizi Mohd Jam
No comments
Post a Comment