GESA mahu Umno berhenti tuduh Dato' Seri Mohamad Nizar "derhaka" pada Tuanku Sultan-malaysiakini


GERAK Sedar Anak Perak (GESA) mahu pemimpin dan penyokong Umno berhenti dari berkempen memburuk-burukkan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan tuduhan beliau "derhaka" kepada Tuanku Sultan Perak.

Menurut Presiden GESA, Tarmizi Mohd Jam, penjelasan dua tokoh bahasa Dato' Hassan Ahmad dan Prof Emiritus Abu Bakar Abdul Hamid telah membuktikan tindakan Nizar mempersembahkan "Sembah Derhaka" kepada Tuanku Sultan Perak adalah tepat dan jelas menampilkan tindakan 'beradab' beliau dalam menghormati institusi raja dan itu tidak boleh dianggap sebagai derhaka atau penderhaka.

Hassan dalam reaksinya menyifatkan ungkapan 'sembah derhaka' yang digunakan dalam percakapan istana tidak membawa maksud derhaka, menderhaka atau menentang perintah seseorang Sultan. Sebaliknya ia membawa maksud 'tidak bersetuju' dengan sesuatu pendapat atau keputusan Tuanku Sultan.

GESA juga menyambut baik penjelasan Prof Emiritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid yang mempertegaskan istilah 'sembah derhaka' itu sebagai ungkapan pembuka kata yang digunakan oleh rakyat Melayu secara tradisi apabila mahu menyampaikan berita yang tidak baik seperti tentang pengkhianatan seorang pegawai istana atau apabila seorang pegawai istana tidak bersetuju dengan titah seorang Sultan.

Sehubungan itu, tegas Tarmizi, semua media kuasaan BN yang telah memanipulasikan isu kononnya Nizar "derhaka" penuh dengan niat jahat untuk mempengaruhi rakyat agar menolak, memandang hina dan mencalarkan imej Menteri Besar dari Pakatan Rakyat itu.

GESA menyeru, semua media di negara ini kembali kepada etika kewartawanan yang profesional dengan laporan yang sihat, wibawa, prihatin dan tidak bersifat adu-domba hingga mengetepikan kebenaran sebenar.

No comments

Powered by Blogger.