JANGAN MASUK PERANGKAP BN - YB GOH LEONG SAN ~ Ref Malaysiakini


Telok Mas : Pengerusi DAP Melaka, YB Goh Leong San menggesa seluruh penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak masuk perangkap BN dalam menangani kemelut isu politik hari ini.

"Banyak isu yang dicipta oleh BN hari ini, mereka merompak kuasa kerajaan Perak, mereka menuduh DAP memusuhi Islam dan tidak menangani kepentingan orang Melayu".

"Jangan kita percaya pada media terutama media Bahasa Melayu yang selalu memanipulasi isu untuk mengelirukan orang Melayu" kata Goh.

Beliau berkata demikian pada forum Pakatan Rakyat (PR) anjuran PAS Kawasan Kota Melaka dan Badan Perhubungan PAS Negeri di Balai Islam Telok Mas di sini malam tadi.

Menurutnya selagi orang Melayu tidak percaya kepada DAP dan orang Cina tidak mengundi PAS selagi itulah BN tidak akan dapat ditumbangkan dan akan terus memerintah Melaka sampai bila-bila.

Goh berkata, PAS, DAP dan PKR mesti bersatu dalam semua gerakerja bagi menumbangkan BN di Melaka.

"Kita lupakan perbezaan, kita cari halatuju yang sama dan berjuang dalam satu Pakatan yang kuat, BN akan tumbang pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti" tambahnya.

Selain itu ketika menjawab soalan seorang hadirin tentang tuduhan sesetengah pihak bahawa DAP menentang penubuhan negara Islam, Goh berkata DAP tidak pernah menentang dan bersetuju dengan dengan isu tersebut.

"Apa yang penting semua keputusan dalam Pakatan Rakyat mesti dibincangkan diperingkat pusat, kita mesti akur dengan keputusan pemimpin-pemimpin tertinggi kita".

"Semua orang termasuk orang Tionghua mesti diberi kefahaman tentang negara Islam, biar mereka faham apa itu negara Islam dan selepas mereka akan membuat keputusan samada menerima atau menentang negara Islam".

"Apa yang penting sekarang kita mesti tumbangkan BN dan selepas kita boleh berbincang tentang dasar kita, itu tidak jadi masalah" ulas Goh yang juga Ketua Pembangkang DUN Melaka.

Selain Goh, dua ahli panel lain yang turut mengambil bahagian ialah Pengerusi PKR Negeri Melaka, Khalid Jaafar dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

Gambar ehsan dari blogger The Advocate

No comments

Powered by Blogger.