kata muhyiddin kepada tok guru hadi- malaysiakini
TAIPING: Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah lebih elok untuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjaga partinya sendiri daripada sibuk mencampuri urusan dalaman Umno.
Beliau berkata, PAS sendiri mempunyai banyak masalah termasuk pelbagai isu yang turut melibatkan parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk komponen Pakatan Rakyat.
"Itu hak Umno, biar Umno selesaikan. Kita tak pernah nak minta nasihat daripada Presiden PAS. Dia elok jaga parti dia cukuplah, dia pun banyak masalah.
"Jadi tak payahlah bagi nasihat, terima kasih banyak-banyak. Umno boleh cari jalan selesaikan urusan kita. Kita tidak perlu campurtangan daripada orang luar yang saya tidak fikir berniat baik," katanya kepada pemberita di pejabat Umno Bukit Gantang di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Abdul Hadi pada persidangan Dewan Rakyat semalam supaya pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan kononnya untuk Abdullah melunaskan segala tugas dan agenda yang belum diselesaikan.
Ditanya desas-desus kononnya Abdullah akan hanya menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Najib dan bukan jawatan Perdana Menteri pada Mac ini, Muhyiddin meminta rakyat negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai khabar angin untuk mencemarkan nama baik parti itu dan pemimpinnya.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu merupakan pemimpin yang bermaruah dan setiap keputusan yang dibuat mereka adalah berdasarkan kepada pertimbangan yang rasional dan bijaksana.
Katanya golongan penyebar khabar angin berkenaan perlu menghentikan tindakan mereka yang hanya akan mencelarukan keadaan politik semasa dan menimbulkan senario yang tidak menentu yang hanya akan mendatangkan kesan tidak baik kepada negara ini.
"Kita sudah cukup banyak cerita tentang politik. Lebih elok kita tumpukan kepada soal kerja untuk membangunkan rakyat dan negara. Itu yang patut jadi tumpuan sekarang, bukannya terganggu dengan sebab masalah-masalah politik yang tidak berkesudahan yang ditokok lagi penyebar khabar angin yang beroperasi 24 jam," katanya.
Sementara itu Muhyiddin berkata pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini akan menjadi medan ujian untuk membuktikan bahawa Umno khususnya dan Barisan Nasional (BN) masih mendapat sokongan daripada rakyat.
Beliau berkata walaupun sebelum ini tewas pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu namun pilihan raya kecil Bukit Gantang akan membawa satu perubahan yang menunjukkan bahawa Umno dan BN masih menerima sokongan dan diyakini oleh rakyat. BERNAMA
No comments
Post a Comment