pas kelantan...tolong ajar ibrahim katak ! - malaysiakini

PAS Kelantan minta Ibrahim Ali letak jawatan






KOTA BHARU: Pas yang tidak berpuas hati dengan kelantangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang sering mengkritik parti itu meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.


Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, menyifatkan tindakan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh Pas bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum 2008, Ahli Parlimen Bebas itu tidak sepatutnya sering menghentam PAS seolah-olah beliau sahaja yang betul.

"Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, hari ini.

Takiyuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, berkata, Ibrahim meminta untuk bertanding pada pilihanraya umum tahun lalu atas tiket Pas walaupun pemimpin Pas kawasan Pasir Mas ketika itu menolak cadangan itu.


"Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket Pas) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu," katanya.

Mengenai kemungkinan Ibrahim akan menawar diri untuk masuk Pas, beliau berkata, terpulang kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berbuat demikian.

"Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk Pas, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk Pas," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.