PPSMI: Pemuda PAS cabar Hisham berdebat- malaysiakini

Dewan Pemuda PAS akan menyerahkan surat rasmi cabaran debat kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Sri Hishammuddin Hussein berhubung pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

salahuddin ayub 01Surat tersebut akan diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub kepada Hishammuddin yang juga menteri pelajaran di Parlimen pada jam 11.30 pagi esok.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penolong pegawai tadbir media, Dewan Pemuda PAS pusat, Safarizal Saleh hari ini.

Pelaksanaan PPSMI mendapat bantahan banyak pihak, khusunya Gabungan Mansuhkan PSSMI (GMP) yang diketuai oleh bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad.

Gabungan itu, yang dianggotai oleh sembilan NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang - akan mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih pada 7 Mac depan membantah pelaksanaan dasar tersebut.

Turut membantah pelaksanaan PSSMI ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang telah membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran.

Badan penaung kepada persatuan penulis seluruh Malaysia itu membuat laporan polis pada 15 Februari lalu di di Balai Polis Brickfields.

'PPSMI tidak sah'

Dalam laporan polis itu, Gapena mendakwa pelaksanaan PPSMI "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan".

Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

"Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".

"Berasaskan kepada kehendak perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996), adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu," laporan polis itu dipetik.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.

Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong telah memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.

Status PPSMI

Pada 17 Februari lalu, rombongan GMP telah ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada ahli Parlimen.

Memorandum terrsebut diterima oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

hishammuddin hussein 03Manakala pada 16 disember lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata status pelaksanaan PSSMI masih di peringkat penelitian.

"Atas kapasiti sebagai menteri pelajaran, (saya boleh katakan) kita sedang kaji dan teliti respons dari pelbagai pihak," beliau diaporkan berkata kepada pemberita di bangunan Parlimen pada 16 Februari lalu.

Hishamuddin turut membayangkan kemungkinan dasar itu akan diubahsuai, bukan ditolak atau diteruskan secara penuh.

Beliau juga menyifatkan tindakan Gapena itu sebagai perkara biasa dan kerajaan bersikap terbuka terhadap perkara itu.

No comments

Powered by Blogger.