Suara SUKJ Siapa Punya?- malaysiakini


Saya menghubungi seorang sahabat bertanyakan mengenai pemilik blog Suara SUKJ. Katanya, dia sendiri tidak pasti cuma di bahagian bawah blog itu ada gambar pemiliknya dan dia pun tidak mengenalinya. Katanya juga, mungkin dia adalah daripada kumpulan Khairi Jamaludin.

Saya tidak kisah sangat dengan blog tidak berwajah. Memang sangat banyak. Saya juga suka melayari blog sebegitu kerana ada sesuatu yang kadang-kadang tidak terdapat dalam blog berwajah. Pemilik blog sebegitu tentu ada alasan tersendiri mengapa identitinya disembunyikan. Saya sendiri pernah berhasrat berblog secara tidak berwajah sebab lebih bebas untuk menulis apa sahaja dan menghentam sesiapa sahaja.

Tulisan dalam blog SUKJ memang pedas dan sasarannya ialah Pas, PKR atau Pakatan Rakyat. Itu pun saya tidak kisah sangat. Seperti mana saya menghentam Umno dia juga berhak menghentam Pas. Namun saya tidak melempar batu sembunyi tangan kerana blog saya berwajah. Ada nama, gambar dan siap dengan alamat ringkas. Kalau saya menghasut atau derhaka kepada raja, mudah saja polis menjejak dan menahan saya. Tak perlu tunggu siang, tengah malam pun boleh.

Tulisan terbaru dalam blog SUKJ bagi saya agak keterlaluan. Tulisan itu menyentuh sensitiviti Islam. Kalau SUKJ orang Islam dia tidak patut menulis begitu. Saya ada hujah agama untuk menangkis tulisan SUKJ tetapi saya tidak mahu berbuat begitu. Bagi saya itu sia-sia. Tetapi kalau blog itu bernama, saya bersedia menolaknya seperti yang pernah saya lakukan kepada blog Mahaguru58 dalam isu mazhab punca perpecahan.

Kalau SUKJ nak hentam Pas, hentamlah puas-puas tapi jangan persendakan Islam sebab Islam bukan agama orang Pas sahaja bahkan agama orang Umno juga. Malah ada orang MIC, MCA dan DAP yang beragama Islam. Bila seseorang itu mempersenda Islam, dia mempersenda semua orang Islam termasuk ‘Pemilik’ Islam yang Maha Agung.

Bagi saya tulisan terbaru dalam blog itu mempersenda Islam. Lihat kenyataan ini, “Itu adalah peraturan hudud oleh Pas. Hudud Pas hanya dikuatkuasakan ke atas orang-orang Islam sahaja. Bagi orang bukan Islam mereka tidak terikat dengan hudud Pas. Kalau macam tu lagi banyaklah akan berbogel selepas ini”.

Soalnya, wujudkah hudud Pas? Adakah orang bukan Islam tidak terikat dengan hudud adalah ketetapan Pas? Sudahkah dirujuk kebenaran kenyataan ini kepada sumber hukum dalam Islam?

Saya katakan, “Kalau anda nak hentam Pas, nak kata Pas lembu ke, orang Pas lembu ke, itu terpulang. Itu hak anda. Tapi janganlah kerana geramkan Pas, anda heret sama Islam dan dimasukkan ke dalam bakul geram anda itu”.

Tolonglah. Memang saya menghentam Umno dan orang Umno dalam blog saya. Ada komentar yang menuduh saya macam-macam termasuk munafik dan fasik. Tetapi saya tidak berselindung di sebalik ‘header’ blog saya. Saya berani bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis dan kemukakan.

Tidak salah berblog tanpa wajah dan kalau salah pun tak boleh buat apa-apa. Ya, tanpa wajah. Apa yang salah ialah kalau kita menjadi orang yang tidak berani bertanggungjawab dengan perkataan dan tindakan kita.



http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.